Wednesday, February 17, 2010

Wanita maut, dua pemandu parah

Wanita maut, dua pemandu parah

2010/02/17

KUALA TERENGGANU: Seorang wanita terbunuh apabila Proton Iswara dinaikinya bertembung dengan sebuah Proton Waja di Jalan Sultan Zainal Abidin di sini, jam 4 pagi semalam.

REMUK...keadaan kereta dinaiki Tengku Intan Karina (gambar kecil) yang bertembung dengan Proton Waja. 

Ketika kejadian, mangsa, Tengku Intan Karina Wan Kamal, 26, duduk di kerusi penumpang bahagian depan kenderaan dipercayai dipandu teman lelakinya, Mohd Faizal Mustafar, 28. Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Zamri Samsuddin, berkata kemalangan itu berlaku apabila kereta dinaiki mereka berdua dari Dataran Syahbandar bertembung dengan sebuah Proton Waja dipandu Lim Kit Lee, 23.

“Kereta dipandu Lim dari bulatan Ladang menuju Dataran Syahbandar dipercayai dipandu laju sebelum terbabas dan melanggar Proton Iswara berkenaan.

“Kenderaan terbabit juga dipercayai hilang kawalan sebelum masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan Proton Iswara berhampiran selekoh berhadapan sebuah kopitiam di Jalan Sultan Zainal Abidin,” katanya.

Menurutnya, kemalangan itu menyebabkan Tengku Intan Karina dari Kampung Balik Bukit, Jertih, Besut, meninggal dunia di tempat kejadian dan hasil bedah siasat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) mendapati mangsa cedera parah di dada. Katanya, kedua-dua pemandu kereta terbabit, Mohd Faisal dari Manir dan Lim dari Taman Jasa, Padang Midin di sini, cedera parah serta masih dirawat di HSNZ.

“Polis kini sedang menunggu keputusan ujian darah serta alkohol pemandu terbabit dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Kawasan kemalangan itu boleh dikatakan sebagai laluan maut kerana dua kemalangan maut dicatatkan di situ selain beberapa kemalangan biasa membabitkan kecederaan parah,” katanya.

No comments:

Post a Comment