Tuesday, February 23, 2010

Boyfriend Bini Minta RM100,000

Kekasih isteri peras RM100,000

Oleh Sarah Zulkifli

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki bukan saja menggoda isteri dan membawa tiga anaknya lari ke Johor Bahru, malah sanggup meminta wang RM100,000 jika mahu bertemu semula dengan semua anaknya.

MESRA...Abdul Kadar menunjukkan   gambar isterinya berpelukan dengan teman lelaki.
MESRA...Abdul Kadar menunjukkan gambar isterinya berpelukan dengan teman lelaki.

Lelaki berusia 30-an yang kemaruk wang itu menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) ugutan berkenaan kepada mangsa dengan mendakwa akan meninggalkan isteri mangsa pada bila-bila masa selain meminta sejumlah wang untuk mendapat semula anaknya dalam keadaan baik dan sihat.

Difahamkan, lelaki itu menjalin hubungan cinta dengan isteri mangsa, 33, lebih setahun lalu, ketika mangsa dan isterinya masih dalam proses perceraian di mahkamah.

Lelaki itu dikatakan membawa isteri dan tiga anak mangsa berusia 14, 11, dan empat tahun mengikutnya tinggal di Johor Bahru. Disebabkan rindu, mangsa yang sudah enam bulan tidak bertemu tiga anak lelakinya itu terpaksa akur permintaan itu dan bercadang berjumpa lelaki terbabit untuk menyerahkan wang seperti diminta.

Bagaimanapun, selepas dipersetujui, lelaki itu gagal dihubungi sebelum dia membuat laporan polis baru-baru ini.

Mangsa, Abdul Kadar Serai Din, 44, berkata dia terlalu merindu ketiga-tiga anak lelakinya itu.

“Saya terlalu risau keselamatan anak selain pembelajaran mereka,” katanya.

Dia yang sudah berkahwin dengan isterinya selama 19 tahun, berkata isterinya keluar dari rumah mereka di Taman Dagang, Ampang, dekat sini, sejak akhir 2008 bersama ketiga-tiga anak mereka.

Menurutnya, sejak tempoh itu, isterinya yang tinggal di Cheras hanya membenarkannya melihat ketiga-tiga anaknya beberapa kali saja.

“Ketika itu, saya masih boleh bertolak ansur kerana mengetahui anak berada dekat dengan saya dan boleh datang menjenguk mereka walaupun isteri tidak membenarkannya.

“Namun, selepas dimaklumkan mereka berpindah ke Johor Bahru bersama teman lelaki isteri, saya berasa sangat risau dengan keselamatan mereka,” katanya.

Abdul Kadar mendakwa, dia tambah terkilan selepas melihat gambar isterinya itu dalam keadaan mesra dan berpelukan dipercayai di sebuah hotel bersama teman lelakinya di laman sembang di Internet.

Menurutnya, dia berharap pihak berkuasa dapat membantunya bagi menemukan kembali dia dengan ketiga-tiga anaknya.

Difahamkan, sebelum ini, mangsa pernah membuat laporan kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) mengenai hubungan sulit isterinya dan teman lelakinya itu.

No comments:

Post a Comment