Monday, February 15, 2010

Ustazah putar alam

Ustazah putar alam
Oleh Amir Abd Hamid dan Mohd Firdaus Ibrahim
am@hmetro.com.my
2010/02/16

KAJANG: Gelaran ustazah putar alam layak buat seorang wanita berusia awal 30-an apabila dikatakan licik memerangkap ibu bapa terutama mereka berkerjaya menghantar anak ke pusat asuhan kanak-kanak miliknya sebelum bertindak menghilangkan diri sebaik bayaran pendahuluan diterimanya, sejak lebih setahun lalu.
Bagi meyakinkan mangsa, ustazah berkenaan mendakwa menggunakan pendekatan Islam dalam pengajaran di pusat asuhannya, selain memakai purdah.

Namun, selepas dia menerima wang pendahuluan, ustazah itu menghubungi ibu bapa sebelum mendakwa pusat asuhannya itu tidak mendapat kebenaran Jabatan Bomba dan Penyelamat dan terpaksa ditutup.

Berikutan itu, dia juga memaklumkan waris untuk menjelaskan bayaran yang sudah dibuat dengan memasukkan wang berkenaan dalam akaun masing-masing sebelum bertindak menghilangkan diri.

Difahamkan, ustazah terbabit bukan saja melakukan kegiatannya di sekitar Lembah Klang, sebaliknya dikatakan sering berpindah- randah di setiap negeri di seluruh negara bertujuan mengelakkan kegiatannya itu dihidu orang ramai terutamanya pihak berkuasa.

Terbaru, seorang ibu, Norizan Mohd Khairi, 28, mendakwa menjadi mangsa ustazah terbabit apabila menghantar anaknya di pusat asuhan kanak-kanak milik ustazah itu di Taman Putra Kajang, Disember tahun lalu. “Pada mulanya, saya diminta menyerahkan pendahuluan RM300 kepada ustazah terbabit sebelum anak sulung saya diarah memulakan pembelajaran pada 4 Januari lalu.

“Seperti dijanjikan, saya menghantar anak ke taska berkenaan sebelum menyerahkan wang tambahan RM500.

“Ustazah itu mendakwa wang berkenaan digunakan membiayai peralatan pembelajaran dan setiap waris dikenakan caj sama,” katanya.

Menurut Norizan, dia yang curiga mula bertanyakan pelbagai soalan, namun ustazah terbabit berjaya meyakinkannya.

“Mana saya tidak curiga, ketika menghantar anak tiada seorang guru pun di taska berkenaan.

“Naik pening saya dibuatnya, namun ketenangan ustazah itu menjawab soalan diajukan berjaya meyakinkan saya,” katanya.

Namun, pada 10 Januari lalu, ustazah berkenaan menghubungi saya sebelum mendakwa pusat asuhannya itu terpaksa ditutup.

“Dia mendakwa pusat asuhannya itu tidak memiliki ciri keselamatan Jabatan Bomba dan Penyelamat.

“Namun, dia berjanji menjelaskan semula bayaran sudah dijelaskan itu,” katanya.

Norizan berkata, selepas beberapa hari menunggu, dia menghubungi semula ustazah terbabit menyebabkan berlaku pertengkaran antara mereka.

“Mana tidaknya, dia menggunakan kata kesat sebaik saya bertanyakan mengenai pembayaran semula deposit dan yuran persekolahan dijelaskan itu.

“Malah, perangai biadab ustazah itu juga jauh berbeza dalam pertemuan pertama mereka ketika menghantar anak ke pusat asuhan terbabit,” katanya.

Berang dengan tindakan itu, mangsa ke pusat asuhan berkenaan dan mendapati premis terbabit dikosongkan.

Tersentak dengan itu, mangsa ke Pejabat Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) membuat aduan.

Katanya, seorang pegawai bertugas mendakwa menerima lebih 10 aduan mengenai pusat asuhan berkenaan selain mengatakan ustazah terbabit tidak pernah berdaftar dengan pihaknya.

Sehubungan itu, mangsa membuat laporan polis berhubung insiden berkenaan di Balai Polis Kajang untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Difahamkan, ustazah itu cuba membuka pusat asuhan baru di Melaka dan menjalankan agenda terkutuknya itu.

Sementara itu, Ketua Polis Kajang, Asisten Komisioner Mohd Sakaruddin Che Mood mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.

No comments:

Post a Comment