Peguam diperkosa
Oleh Hadzlihady Hassan dan Mohd Firdaus Ibrahim
am@hmetro.com.my
2010/02/17
KUALA LUMPUR: Seorang peguam wanita yang sedang lena tidur dirogol seorang lelaki yang memecah masuk rumahnya di sebuah kondominium di Bandar Tasik Permaisuri di sini, Jumaat lalu.
Mangsa yang berusia 20-an diugut lelaki terbabit dengan pisau supaya tidak berbuat sesuatu jika tidak mahu dicederakan.
Menurut sumber polis, kejadian berlaku kira-kira jam 5 petang ketika mangsa sedang tidur dalam biliknya sebelum terkejut apabila mendapati ada seseorang lelaki tidak dikenalinya berbaring di sebelahnya.
“Sejurus menyedari ada seseorang berbaring sebelahnya, mangsa terjaga namun lelaki terbabit meminta dia mendiamkan diri sambil meletakkan pisau di leher.
“Mangsa yang ketakutan kemudian disuruh mengambil minuman di dapur. Bimbang mengenai keselamatannya, mangsa patuh kepada arahan berkenaan,” katanya.
Sumber berkata, mangsa kemudian menyerahkan minuman itu kepada suspek sebelum dia diarahkan berbaring semula.
“Mangsa kemudian diarah menanggalkan pakaiannya sebelum dirogol,” katanya.
Lelaki terbabit turut melarikan wang tunai RM50, sebuah komputer riba dan telefon bimbit milik mangsa.
Difahamkan, mangsa kemudian menghubungi pengawal keselamatan untuk mendapatkan bantuan namun suspek melarikan diri.
Sehubungan itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Cheras di sini untuk siasatan dan tindakan lanjut.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Cheras, Superintendan Abdul Rahim Hamzah Othman ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan namun enggan mengulas lanjut
No comments:
Post a Comment