Rekod pergerakan pelajar
Oleh Maiamalina
PETALING JAYA: Aktiviti pelajar di sekolah lebih mudah dipantau ibu bapa dan guru apabila Kad Pintar Pelajar 1Malaysia diperkenalkan yang berciri 'semua dalam satu' iaitu sebagai rekod kehadiran, kad identiti, belian dan pinjaman buku.
METERAI...Syed Mansor (kiri) bertukar dokumen dengan Lee sambil disaksikan Syed Ahmad (dua dari kiri) dan Mohd Azumi.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, RCG Holdings Limited (RCG), Datuk Lee Boon Han, berkata pihaknya sudah menghantar kertas cadangan kepada Kementerian Pelajaran mengenai penggunaan teknologi itu di sekolah rendah dan menengah beberapa minggu lalu.
Bagaimanapun, katanya belum ada sebarang keputusan dibuat berikutan kedua-dua pihak masih meneliti keberkesanan penggunaan kad pintar sebagai alat memantau aktiviti sosial murid di sekolah selain perlu melalui proses tertentu.
"Kita sudah ada teknologi ini dan hanya menunggu lampu hijau daripada kementerian untuk aplikasikan di sekolah seluruh negara, dimulai sekolah perintis kemungkinan besar sekitar Lembah Klang sebelum ke tempat lain.
"Proses ini bukanlah dapat disempurnakan dalam tempoh singkat tapi kita berusaha sedaya upaya, namun keputusan sepenuhnya sama ada projek boleh dijalankan atau tidak bergantung kepada kementerian yang menentukannya.
"Apapun, sekiranya semua pihak bersetuju, kita boleh memulakan kerja pemasangan dan penerangan menyeluruh sebelum hujung tahun ini manakala, sistem siap sepenuhnya serta diguna pakai tahun depan," katanya kepada pemberita di sini, semalam.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) antara RCG yang juga subsidiari penuh Towards Soft Technology Sdn Bhd dengan iCES (M) Sdn Bhd diwakili Pengarah Urusannya, Syed Mansor Syed Ahmed.
Hadir sama, Pengerusi Kehormat yang juga Penasihat iCES, Datuk Syed Ahmed Malik dan Pengarah Kehormat RCG, Datuk Seri Mohd Azumi Mohamed.
Ditanya mengenai kos penggunaan kad pintar, Lee menjelaskan ia belum diputuskan, namun yakin jumlah dikenakan tidak akan membebankan semua pihak sama ada sekolah mahupun ibu bapa.
No comments:
Post a Comment