Monday, February 22, 2010

Syor Wujudkan Jawatan Guru Penolong Kanan Sukan Di Sekolah

KUALA LUMPUR: Keputusan Kementerian Pelajaran mewajibkan semua pelajar menyertai aktiviti sukan di sekolah bermula tahun depan, disokong ibu bapa yang menyifatkan ia baik untuk perkembangan keseluruhan anak mereka termasuk jasmani dan rohani.
Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Datuk Prof Madya Mohamad Ali Hassan, berkata tiada bebanan sekiranya pelajar diwajibkan memilih satu jenis sukan, sebaliknya aktiviti itu akan menjadi pendorong untuk mereka terus belajar.

Katanya, pelajar yang aktif akan melihat sukan sebagai ruang untuk mereka melepaskan tekanan ketika menelaah pelajaran, sekali gus menjadikan mereka gembira, cergas dan lebih bersedia untuk menghadapi pembelajaran berikutnya.

“Kalau boleh dilaksanakan serta-merta lagi bagus kerana dengan cara ini kita turut melatih pelajar kita lebih berdisiplin, integriti, merapatkan hubungan sesama mereka dan melatih ciri kepemimpinan selain mengurangkan tekanan,” katanya.

“Ini juga selaras dengan pelan transformasi pendidikan yang dilaungkan kerajaan kerana kita dapat membangun perkembangan anak muda secara keseluruhannya termasuk rohani, jasmani dan intelektual mereka.

“Cuma, jika sukan dijadikan sebahagian elemen pemarkahan selain ko-kurikulam sebelum ini akan lebih menarik minat pelajar, manakala ibu bapa akan lebih percaya untuk menggalakkan anak mereka aktif,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Dalam pada itu, Mohamad Ali turut mencadangkan semua guru diberi peluang aktif dalam sukan bagi membolehkan mereka menjadi pendorong dan jurulatih kepada pelajar. Beliau berkata, jawatan guru penolong kanan bahagian sukan juga wajar diwujudkan bagi memantau dan menyelia kegiatan sukan di sekolah masing-masing selain menjadi ketua yang menguruskan aliran peruntukan untuk aktiviti berkenaan.

“Kita mahu semua pihak main peranan sekiranya mahu hasrat ini dijayakan, tidak terkecuali PIBG yang digalakkan bekerjasama untuk memajukan sukan di sekolah sama ada menjadi jurulatih pengiring atau pembantu.

“Pilihan sukan juga hendaklah tidak tertakluk kepada sukan ‘outdoor’ saja sebaliknya ‘indoor’ kerana minat setiap pelajar yang berbeza-beza,” katanya yang meminta supaya semua pihak menjadikan universiti sebagai model menggalakkan pelajar aktif sukan.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam mengumumkan semua pelajar sekolah rendah dan menengah diwajibkan menyertai satu jenis sukan mulai tahun depan.

No comments:

Post a Comment