BATU PAHAT: Keluarga anggota tentera yang terpaksa menjadikan majlis persandingan anak perempuan sulung mereka sebagai majlis tahlil dan doa selamat, bersyukur kerana jiran sekampungnya di Kampung Baru di sini, memahami masalah yang dihadapi serta memberikan sokongan menjayakan kenduri gantian itu.
BUKTI...Hairudin menunjukkan sijil kursus perkahwinan anaknya yang sepatutnya berkahwin 3 Februari lalu.
Bapa bakal pengantin tidak kesampaian itu, Hairudin Ahmad, 50, Hairudin berkata, keluarganya bersyukur kerana penduduk kampung, rakan dan saudara mara, memberikan sokongan kepada mereka sepanjang melalui tempoh yang cukup menguji kesabaran itu.
Katanya, rakan-rakan bukan saja menawarkan bantuan, malah ada yang turut menghantarnya ke Kem Rejimen Pertama Armor Diraja, Kuantan, Pahang, ketika cuba mendapatkan jawapan sebenar.
Menurutnya, penduduk kampung bergotong-royong selepas keluarga memutuskan majlis persandingan dijadikan majlis doa selamat dan tahlil, Sabtu lalu.
“Alhamdulillah, semua rakan-rakan, saudara mara dan penduduk kampung menghulurkan bantuan dan sokongan moral kepada kami sekeluarga.
“Semua penduduk kampung ibarat keluarga dan saya akan ingat jasa mereka sampai bila-bila,” katanya.
Sementara itu, penduduk kampung, Asri Isnin, 50, berkata pada mulanya penduduk terkejut apabila mendengar berita gempar berkenaan kerana ia tidak pernah berlaku di kampung itu.
Katanya, penduduk berbincang dan berpendapat mereka perlu menghulurkan bantuan kepada keluarga yang sudah pasti lebih tertekan dengan kejadian berkenaan.
“Selepas berbincang, keluarga memutuskan untuk menjadikan majlis persandingan kepada majlis tahlil dan doa selamat, manakala kami yang menguruskan kenduri itu tetap menjalankan tugas masing-masing.
“Ia tetap dilakukan kerana ramai dijangka hadir selepas mereka menerima kad jemputan kahwin yang diedarkan lebih awal. Apa lagi kejadian itu bukannya salah keluarga perempuan.
“Sebagai lelaki, saya menasihatkan orang lain supaya jadikan kejadian ini sebagai iktibar dan fikir semasak-masaknya sebelum melakukan perkara tidak diingini,” katanya.
Menurutnya, dalam kejadian itu keluarga perempuan bukan sahaja menanggung malu, malah kerugian ribuan ringgit bagi menyediakan persiapan majlis perkahwinan.
Akhbar ini, Isnin lalu melaporkan seorang anggota tentera Kem Rejimen Pertama Armor Diraja, Kuantan, Pahang, membatalkan perkahwinan selepas helahnya memalsukan sijil kursus perkahwinan terbongkar, 3 Februari lalu.
Terdahulu pada 1 Februari lalu, lelaki berusia 26 tahun dan berasal dari Sarawak, memberikan SMS kepada bakal ibu mentuanya meminta tarikh perkahwinannya ditunda, namun permintaan itu dipertikaikan wanita berkenaan berikutan tarikh terlalu hampir iaitu 5 Februari, selain kad jemputan dan persiapan sudah dilakukan.
No comments:
Post a Comment