Status Elia Suhana jadi tanda tanya
KOTA BHARU 22 Feb. - Peguam kepada Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid dijangka membuat kenyataan bagi pihak baginda pada Khamis ini berhubung status terkini perkahwinan Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra dengan isteri kedua baginda, Elia Suhana Ahmad, 31.
Ia dipercayai sebahagian daripada penjelasan ekoran pergeseran baginda dengan madunya berhubung hak giliran bersama Sultan yang mencetuskan satu lagi pergolakan dalam Istana Kelantan.
Peguam berkenaan difahamkan akan menjelaskan status perkahwinan Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra dengan Elia Suhana, bekas seorang pegawai polis yang dikahwini pada Disember 2007.
Ia akan dikemukakan dengan beberapa bukti kepada Mahkamah Tinggi Syariah di sini apabila notis bantahan awal dijangka difailkan oleh peguam kelak bagi mengetepikan perintah yang dikeluarkan oleh mahkamah itu semalam.
Utusan Malaysia difahamkan peguam bagi pihak Tengku Anis telah ke Mahkamah Tinggi Syariah hari ini bagi mendapatkan segala butiran yang diperlukan bagi memfailkan notis bantahan awal itu.
Media hari ini melaporkan Tengku Anis diperintah memberi tunjuk sebab pada 7 Mac ini kerana mengingkari perintah yang membenarkan isteri kedua Tuanku Ismail Petra itu melaksanakan perintah ex-parte oleh Mahkamah Tinggi Syariah di sini 4 Februari lalu.
Hakim Mahkamah Syarie, Mohamed Yusoff Awang membuat keputusan tersebut di dalam kamar selepas mendengar permohonan interlokutori (permohonan dalam permohonan) Elia Suhana bersama peguamnya, Fakhrul Azman Abu Hasan, semalam.
Selain Raja Perempuan, dua lagi responden yang dinamakan ialah Mohd. Shahrizan Zainal Abidin iaitu pengawal peribadi responden pertama dan Zaiton Hussein Merican, pekerja di Istana Kelantan.
Tuanku Ismail yang gering telah menerima rawatan insentif oleh pakar di hospital Mount Elizabeth di Singapura sejak Mei tahun lalu.
Peguam Elia Suhana, Fakrul Azman Abu Hassan memberitahu, wartawan anak guamnya telah dihalang daripada menemui Sultan Kelantan walaupun telah mendapat perintah pada 4 Febuari lalu yang memaksa permohonan interlokutori dibuat.
No comments:
Post a Comment