Isteri curang tumbuk suami
Oleh Hadzlihady Hassan
AMPANG: Niat seorang bapa mahu berjumpa dengan tiga anaknya kerana terlalu merindui mereka membawa padah apabila dia ditumbuk isterinya menyebabkan dia cedera di muka dan bibir.
Malah, wanita terbabit yang tidak membenarkan suaminya melihat anak mereka turut mengugut membuat laporan polis dengan mendakwa dia dipukul dan diserang suami sendiri.
Difahamkan, sebelum ini, lelaki berkenaan pernah ditumbuk isterinya, namun dia enggan membuat laporan bagaimanapun kejadian yang berlaku Isnin lalu benar-benar mencabar kesabarannya menyebabkan dia nekad membuat laporan polis.
Kejadian terbabit dikatakan berlaku selepas isteri lelaki berkenaan merajuk apabila suaminya mengetahui dia mempunyai teman lelaki sebelum wanita itu membawa tiga anak mereka ke rumah kakaknya di Pandan Indah, tiga hari sebelum kejadian.
Menurut sumber polis, lelaki berusia 39 tahun dan bekerja sebagai pemandu itu sebelum ini pernah menegur isterinya selepas melihat perubahan sikap wanita terbabit dan mengesyaki dia mempunyai hubungan dengan lelaki lain.
“Suaminya hairan dengan perangai isterinya kerana kerap pulang lewat malam dan mengabaikan tanggungjawab terhadap anak.
“Lelaki itu mengesyaki isterinya menyimpan rahsia dan mempunyai teman lelaki lain lalu menegurnya supaya berubah,” katanya.
Bagaimanapun, teguran itu membuat isterinya merajuk dan membawa tiga anak mereka masing-masing dua lelaki dan seorang perempuan berusia antara 10 bulan hingga 13 tahun keluar dari rumah di Shah Alam.
“Wanita berkenaan membawa tiga anak mereka ke rumah kakaknya di Pandan Indah, Ampang sebelum lelaki terbabit yang mengetahui semua anaknya berada di situ pergi ke rumah itu.
“Bagaimanapun, sejurus tiba, isterinya tidak membenarkan lelaki itu menjenguk anak mereka dan berlaku sedikit pertengkaran,” katanya.
Sumber terbabit berkata, secara tiba-tiba isterinya berusia 33 tahun dikatakan hilang kawalan melepaskan satu tumbukan ke arah suaminya yang ketika itu turut dilihat anak sulung mereka.
“Bagaimanapun, selepas menumbuk muka suaminya, wanita terbabit mengugut yang dia membuat laporan polis mengatakan yang lelaki itu memukul dan menyerangnya.
“Lelaki terbabit dikatakan sudah tidak tahan dengan kelakuan isterinya itu akhirnya membuat satu laporan polis berhubung kejadian berkenaan,” katanya.
Menurutnya, lelaki terbabit mendapatkan rawatan di Hospital Ampang akibat ditumbuk dan mengalami kecederaan di bibir serta muka.
Difahamkan, pasangan terbabit mendirikan rumah tangga sejak 13 tahun lalu dan suaminya mengesyaki yang wanita terbabit curang selepas dia sering pulang lewat ke rumah serta sikapnya yang banyak berubah dan tidak mempedulikan tiga anak mereka.
Sementara itu, Ketua Polis Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abd Jalil Hassan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
No comments:
Post a Comment