Friday, February 5, 2010

'Kami nak bersekolah'

2010/02/04

KOTA TINGGI: “Kami nak bersekolah,” begitu luahan enam beradik berusia antara enam hingga 14 tahun yang tidak pernah menjejak kaki ke sekolah berikutan tidak memiliki dokumen pengenalan diri sejak lahir sama ada surat beranak mahupun MyKad.

Ketika rakan sebaya lain berada di sekolah, enam beradik itu pula terpaksa memerap di rumah nenek mereka dengan menghabiskan masa bermain sesama sendiri dan hanya berpeluang belajar membaca sekali sekala daripada seorang sepupu berusia awal 20-an ketika pulang bercuti di kampung.

Enam beradik malang itu ialah Norshara Danila, 14; Mohd Haikal, 12; Adam Iskandar, 10; Nor Shahira, 9; Haris Fadillah, 7; dan Ahmad Nor Danish, 6.

Difahamkan, sejak tiga tahun lalu, enam daripada lapan beradik itu tinggal di rumah nenek mereka, Raja Fatimah Abu Bakar, 76, di sini manakala ibu bapa mereka pula dikatakan tinggal di Masai, Johor bersama dua lagi adik-beradik mereka, Alif Imran, 2, dan Mohd Hasrik, setahun.

Baru-baru ini, Norshara Danila dikatakan pernah dibawa seorang ibu saudaranya untuk tinggal bersama di Kuala Lumpur kerana mahu menempatkannya di sebuah tahfiz, namun gagal mendapat tempat kerana tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri.

Menurut Raja Fatimah, dia begitu sedih apabila melihat cucunya yang tidak pernah berpeluang bersekolah sedangkan kanak-kanak sebaya lain sentiasa meminta untuk bersekolah. Katanya, cucu-cucunya itu sentiasa bersemangat untuk bersekolah, namun hasrat mereka tidak tercapai kerana tiada sebarang dokumen pengenalan diri untuk urusan pendaftaran.

“Saya sebagai nenek yang menjaga mereka selama ini sedih dengan masalah yang terpaksa ditempuhi kanak-kanak ini dan sudah berusaha ke jabatan berkaitan untuk urusan mendapatkan sijil beranak.

“Saya akui masalah ini berlaku akibat kecuaian anak lelaki dan menantu saya yang tidak mendaftarkan kelahiran anak mereka dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN),” katanya.

No comments:

Post a Comment