Tuesday, February 23, 2010

Kumpulan kedua PLKN bermula 27 Mac

Kumpulan kedua PLKN bermula 27 Mac

SEPANG 22 Feb. - Kumpulan kedua Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) bagi tahun ini melibatkan 42,000 pelatih akan bermula pada 27 Mac ini.

Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Abdul Hadi Awang Kechil berkata, semakan nama boleh dibuat melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dan e-mel di laman web rasmi jabatan bermula minggu depan.

"Dari segi pergerakan pelatih, kita akan umumkan melalui akhbar tidak lama lagi," katanya pada sidang akhbar selepas melawa kem PLKN Princess Haliza di sini hari ini.

Kumpulan pertama membabitkan lebih 30,000 pelatih memulakan latihan selama tiga bulan pada Januari lalu dan akan tamat latihan 15 Mac ini.

Bagi permohonan sukarela menyertai PLKN tahun ini yang mencecah 2,000 orang, Abdul Hadi berkata, pihaknya akan cuba menempatkan mereka dalam kumpulan kedua.

"Jabatan mempunyai masalah menempatkan semua pemohon itu. Contohnya bagi kumpulan satu, kami hanya dapat menempatkan kira-kira 247 orang.

"Kami akan cuba menempatkan bakinya dalam kumpulan kedua yang akan memulakan latihan pada 27 Mac ini tetapi itu bergantung pada kekosongan," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, modul integrasi yang diajar di semua kem PLKN memberi ruang kepada setiap pelatih dalam kumpulan pertama memahami dan menghayati perbezaan budaya dan agama yang ada di negara ini.

"Tujuannya supaya setiap pelatih menerapkan pengalaman mereka dalam keluarga dan masyarakat supaya menjadikan perbezaan sebagai satu kekuatan bukannya kelemahan," katanya.

1 comment:

  1. saya nak tukar kumpulan 3 ke kumpulan 2...sebab saya nak sambung belajar...bolah?

    ReplyDelete