Ustaz dituduh cabul murid tahun empat
Oleh Junita Mat Rasid
MUAR: Seorang ustaz berusia 36 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas empat pertuduhan mencabul murid tahun empat Sekolah Kebangsaan Sagil Kampung, dekat Tangkak, dalam kejadian tahun lalu dan awal tahun ini.
Tertuduh Samsul Bahri Saleh, mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Pendaftar Mahkamah Sesyen, Nor`iza Mohamed.
Dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua hukuman berkenaan.
Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa melakukan kekerasan jenayah dengan cara meraba paha dan alat sulit seorang murid berusia 10 tahun, kira-kira jam 1.30 petang, antara 1 Februari lalu hingga 5 Februari lalu di kelas 4 Anggerik di sekolah berkenaan.
Bagi pertuduhan kedua, Samsul Bahri didakwa melakukan kesalahan yang sama dengan meraba alat sulit seorang lagi mangsa dalam kejadian kira-kira jam 1.30 petang pada tahun lalu, di sekolah yang sama.
Bagi pertuduhan ketiga, dia didakwa melakukan kesalahan kira-kira jam 1.20 tengahari pada tahun lalu dengan meraba alat sulit mangsa yang berusia 10 tahun dan pertuduhan keempat membabitkan dakwaan meraba buah dada murid tahun empat pada jam kira-kira 1.30 tengah hari, 8 Februari lalu.
Mahkamah memerintahkan wang jaminan dikenakan sebanyak RM6,000 bagi setiap pertuduhan dan tarikh sebutan semula kes itu ditetapkan 15 April ini.
No comments:
Post a Comment