Saturday, February 13, 2010

Isteri kedua Sultan Ismail dibenar lawat

Isteri kedua Sultan Ismail dibenar lawat

2010/02/13

SINGAPURA: Isteri kedua Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra, mendapat perintah mahkamah membenarkan beliau melawat Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra di Hospital Mount Elizabeth, di sini.

Perintah itu dikeluarkan Mahkamah Syariah Kota Bharu, Kelantan pada 4 Februari lalu, yang membenarkan Elia Suhana Ahmad, 31, melawat dan bersama Sultan Kelantan di hospital berkenaan bermula jam 7 pagi Sabtu hingga jam 7 pagi Isnin setiap minggu secara eksklusif tanpa gangguan pihak lain.

Perintah tegahan turut dikeluarkan terhadap Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid atau wakil baginda daripada mengganggu proses berkenaan dan waktu melawat ditentukan menerusi hak giliran.

Peguam Elia Suhana, Fakhrul Azman Abu Hassan ketika ditemui di sini, semalam menegaskan pihaknya cuba menghantar perintah berkenaan petang semalam, tetapi gagal berbuat demikian selepas dihalang pengawal peribadi Raja Perempuan Kelantan.

“Kami hanya mahu serahkan perintah ini supaya Cik Puan (Elia Suhana) dapat melawat baginda Sultan, tetapi kami tidak dapat menyerahkannya kerana pengawal memberitahu Raja Perempuan tiada dan kami akan datang semula pagi esok (hari ini) untuk menyerahkannya semula,” katanya.

 
 

Fakhrul berkata, ini kali pertama, pihaknya datang menyerahkan perintah itu dan beliau ditemani kakitangannya dan anggota polis.

Pada masa sama, beliau berkata, mahkamah turut memerintahkan kerjasama perlu diberikan semua agensi kerajaan seperti polis dan imigresen bagi melancarkan perjalanan perintah itu.

No comments:

Post a Comment