Perebutan hartanah Allahyarham Syed Kechik didengar 19 April
23/02/2010 8:24pm
KUALA LUMPUR 23 Feb. – Kes perebutan harta pusaka oleh anak-anak Allahyarham Tan Sri Syed Kechik Syed Mohamed Al-Bukhary akan didengar di Mahkamah Tinggi di sini pada 19 April ini.
Pesuruhjaya Kehakiman K. Anantham menetapkan tarikh tersebut selepas bertemu dengan kedua-dua pihak yang bertelagah dalam kamar hari ini.
Mahkamah akan mendengar saman pemula serta permohonan untuk membatalkannya.
Isu perebutan ahli keluarga bermula selepas kematian Syed Kechik pada 10 April tahun lepas ketika berusia 81 tahun.
Syed Kechik merupakan bapa mertua kepada pengerusi Yayasan Al-Bukhary, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary, yang disenaraikan sebagai individu kelapan terkaya di Malaysia.
Pada 9 November, 2009, syarikat, Syed Kechik Holdings Sdn. Bhd., dan dua anak perempuan Allahyarham, Puan Sri Sharifah Zarah dan Sharifah Munira, memfailkan saman pemula bagi mendapatkan perisytiharan bahawa abang sulung mereka, Syed Gamal, tidak mempunyai sebarang hak atau kepentingan dalam syarikat itu sehingga selesai pentadbiran serta pembahagian harta pusaka bapa mereka.
Syed Gamal, 45, dinamakan defendan dan hadir di mahkamah, merupakan anak lelaki sulung Syed Kechik menerusi perkahwinan pertama Allahyarham dengan bekas isterinya, Zainab @ Eshah Abdullah.
Sharifah Zarah, 42, dan Sharifah Munira, 44, merupakan anak perempuan Syed Kechik bersama isteri muda Puan Seri Sofiah Moo Abdullah, tidak hadir di mahkamah, tetapi diwakili peguam Datuk Vijay Kumar, manakala peguam Atan Mustaffa Yussof Ahmad bertindak bagi Syed Gamal. – Bernama
No comments:
Post a Comment