Wednesday, February 17, 2010

Parah diseret kereta

Parah diseret kereta

2010/02/17

KUALA TERENGGANU: “Kejadian berlaku begitu pantas malah saya tidak sedar bagaimana tubuh saya boleh diseret kereta kira-kira tujuh meter.

PARAH...Wahab dirawat di HSNZ.

“Paling mengecewakan, pemandu itu tergamak meninggalkan kami dua beranak dalam keadaan berlumuran darah tanpa mendapatkan sebarang bantuan kecemasan,’’ kata Wahab Ngah, 60, menceritakan pengalaman ngerinya dirempuh sebuah kenderaan di Kampung Lintang, Jalan Tok Kah, Jerangau Sungai, Dungun, petang Khamis lalu.

Penternak lembu yang ditemui di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), berkata kejadian jam 2.30 petang itu berlaku ketika dia dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menjemput anaknya, Firdaus Wahab, 14, dari sekolah. Menurutnya, dia difahamkan penduduk, motosikal dinaiki bersama anak bongsunya itu dirempuh sebuah kenderaan yang memasuki laluannya.

“Malangnya pertembungan itu menyebabkan pemegang motosikal saya tersangkut pada tayar kenderaan terbabit lalu menyeret saya beberapa meter,’’ katanya yang patah kedua-dua belah tangan serta cedera di kaki kanan. Bapa kepada 10 anak itu berkata, anak bongsunya bernasib baik kerana hanya cedera ringan di dada akibat terjatuh di bahu jalan.

“Semua yang berlaku kepada saya ketika itu dilihat dengan jelas oleh anak, namun dia tidak berdaya menghulurkan sebarang bantuan,’’ katanya yang diselamatkan penduduk.

Wahab berkata, anaknya yang dirawat sebagai pesakit luar memberitahu pemandu terbabit adalah seorang warga asing kerana sempat melihat wajahnya yang bergegas meninggalkan tempat kejadian.

Sementara itu anak keenamnya, Aminah Wahab, 24, yang bekerja sebagai pembantu pasar raya di Kuantan, Pahang berkata dia lega kerana ayahnya semakin pulih selepas menjalani pembedahan dua hari lalu.

No comments:

Post a Comment