Saturday, February 13, 2010

Tahun Baru Cina (1/2)

Wapedia

Wiki: Tahun Baru Cina

Tahun Baru Cina merupakan perayaan terpenting orang Cina bagi menyambut tahun baru dalam kalendar qamari Cina. Kalendar qamari Cina terbahagi kepada kitaran 12 tahun dan dinamakan sempena nama haiwan. (Lihat Tarikh perayaan di bawah.)
Tahun Baru Cina melambangkan permulaan, titik permulaan dalam nasib dan kehidupan. Sebelum hari tahun baru bermula, sanak saudara yang jauh akan kembali berkumpul. Rumah akan dicuci dan segala hutang-piutang dikutip atau dibayar agar mereka tidak sentiasa dikelilingi hutang sepanjang tahun yang baru. Mercun dibakar pada tengah malam bagi menandakan bermulanya tahun baru dan bagi menghalau puaka dan nasib malang. Rumah-rumah dihiasi dengan buah limau sebagai simbol murah rezeki, bunga dan pokok limau.

Tahun Baru Cina diraikan dengan jamuan yee sang dan kuih bakul. Kaum keluarga akan makan besar dengan masakan tradisi seperti daging itik, daging salai, sosej, kuih pulut, dan limau mandarin. Golongan muda pula akan melawat golongan tua dan menerima wang ang pau dalam sampul merah bagi melambangkan nasib baik, yang diberikan oleh orang yang berkeluarga kepada mereka yang masih belum kahwin. Perarakan tarian naga atau singa akan diadakan, dengan kereta berhias yang diiringi bunyi gendang. Lima belas hari selepas perayaan Tahun Baru Cina, perayaan Tahun Baru Cina ditamatkan dengan perayaan Chap Goh Mei.

Tahun Baru Cina bukan sahaja diraikan oleh kaum Cina di merata dunia, malah turut dirayakan oleh bangsa Korea, Vietnam, Mongol dan Miao (Hmong China) yang dipengaruhi oleh China dari segi kebudayaan dan keagamaan, maka turut memakai kalendar qamari Cina.

Isi kandungan:
1. Tarikh perayaan
2. Sejarah
3. Mitos
4. Sambutan perayaan
5. Hidangan Tahun Baru
6. Amalan Tahun Baru
7. Ucapan
8. Pantang-larang sewaktu perayaan
9. Rujukan
10. Pautan luar
Tahun Baru Cina
Tulisan Tradisional: 農曆新年
Tulisan Ringkas: 农历新年
Maksud harfiah: tahun baru takwim qamari
Transliterasi
Bahasa Mandarin
- Hanyu Pinyin: Nónglì Xīnnián
Nama Cina alternatif
Tulisan Tradisional: 春節
Tulisan Ringkas: 春节
Maksud harfiah: perayaan musim bunga
Transliterasi
Bahasa Mandarin
- Hanyu Pinyin: Chūnjíe
Tahun Baru Cina
Tahun Baru Cina
Malam Tahun Baru Cina di Meizhou, China

Juga dinamakan Tahun Baru Qamari, Perayaan Musim Bunga
Diraikan oleh terutamanya tamadun Asia Timur
Jenis China, kebudayaan, agama Buddha
Keutamaan Hari pertama kalendar Cina (qamari)
Tarikh 2009 26 Januari
Tarikh 2010 14 Februari
Tarikh 2011 3 Februari
Perayaan sambutan Tahun Baru, perhimpunan keluarga, jamuan sekeluarga.
Berkaitan dengan Perayaan Tanglung yang mengakhiri perayaan ini
Halaman ini mengandungi teks bahasa Cina. Anda hanya dapat melihat jika anda mempunyai sokongan perisian. Lebih...

1. Tarikh perayaan

Rencana utama: Astrologi Cina


Sambutan Tahun Baru Cina di Chinatown, London.
Tarikh hari tahun Baru Cina dari 1996 hingga 2019 (dalam kalendar Gregory) adalah disenaraikan seperti berikut, besertakan lambang haiwan dalam zodiak Cina dan lambang dahan buminya. Nama-nama dahan bumi tersebut bukan perkataan bahasa Cina bagi haiwan-haiwan tersebut.

2. Sejarah

Sebelum Dinasti Qin, tarikh perayaan permulaan sesuatu tahun adalah tidak jelas. Ada kemungkinana bahawa awal tahun bermula dengan bulan 1 ketika Dinasti Xia, bulan 12 ketika Dinasti Shang, dan bulan 11 ketika Dinasti Zhou di China. Namun, adalah diketahui bahawa "bulan lompat" yang dipakai untuk memastikan kalendar qamari selari dengan matahari, sentiasa ditambah selepas bulan 12 ketika Dinasti Shang (menurut catatan tulang orakel yang masih wujud) dan Zhou (menurut Sima Qian). Maharaja pertama China Qin Shi Huang menukar dan menetapkan awal tahun pada bulan 10 pada 221 SM. Sama ada Tahun Baru diraikan pada awal bulan 10 atau bulan 1, atau kedua-duanya, itu tidak diketahui. Pada 104 SM, Maharaja Wu yang memerintah sewaktu Dinasti Han menetapkan bulan 1 sebagai awal tahun, yang masih kekal sampai masa ini.

3. Mitos



Puisi Tahun Baru Cina tulisan tangan ditampal pada pintu ke rumah orang, di Lijiang, Yunnan, China.
Menurut legenda, pada zaman dahulu, Nián (年) ialah seekor raksasa pemakan manusia dari pergunungan (dalam versi-versi lain, dari bawah laut), yang muncul setiap 12 tahun, sekitar musim sejuk, untuk memburu manusia. Orang ramai kemudiannya percaya bahawa raksasa Nian sukar menahan bunyi bising dan warna merah, maka mereka mengusirnya dengan letupan, bunga api dan penggunaan warna merah secara meluas. Adat-adat inilah yang membawa kepada perayaan Tahun Baru yang sulung. Guò nián (Cina Tradisional: 過年, Cina Ringkas: 过年), yang bermaksud "menyambut tahun baru", membawa erti harfiah "meredah raksasa Nian".[1][2]

4. Sambutan perayaan

Sambutan Tahun Baru Cina ditandakan oleh penziarahan ahli keluarga saudara-mara dan sahabat, serta penggunaan warna merah yang berlebihan. Ang pau diberi kepada orang muda dan kanak-kanak oleh orang tua dan yang telah kahwin.

4. 1. Sebelum Tahun Baru

Pada hari-hari sebelum Tahun Baru, keluarga-keluarga Cina membersihkan rumah mereka secara menyeluruh, kerana mereka percaya bahawa pembersihan ini menghalau nasib malang dan musibah yang menimpa pada tahun yang berlalu serta menyediakan rumah mereka untuk menjemput nasib baik. Penyapu dan pengumpul habuk disimpan pada malam sebelum Tahun Baru dan hari pertama agar nasib baik itu tidak boleh disapu keluar. Ada orang yang mengecat rumah, pintu dan sisi tingkap dengan warna merah. Rumah dihiasi potongan kertas yang ditulis pepatah mengucap kebahagiaan dan kemakmuran dalam bahasa Cina.

Acara terbesar pada malam Tahun Baru Cina ialah jamuan pertemuan semula. Hidangan yang terdiri daripada ikan terdapat di atas meja makan untuk tujuan paparan sempena jamuan ini. Di China utara, adalah juga menjadi adat untuk memakan ladu untuk jamuan ini. Ladu melambangkan kemewahan kerana bentuknya berupa tongkol emas Cina. Ang pau bagi ahli terdekat dalam keluarga kadang-kadang diberi sewaktu jamuan pertemuan semula. Paket ini sering mengandungi duit dalam bilangan nombor tertentu yang mencerminkan tuah dan kehormatan.[3]

4. 2. Hari pertama


Perayaan Tahun Baru Cina, pada hari kelapan, di pinggir kota Vancouver, Kanada.

Hari pertama adalah hari bagi mengundang dewa-dewi dari kayangan dan bumi. Kebanyakan orang yang meraikannya, terutamanya penganut agama Buddha, menghindari diri daripada memakan daging pada hari ini kerana adalah dipercayai bahawa ini memastikan mereka akan lanjut usia.[4]

Paling penting sekali, hari pertama Tahun Baru Cina merupakan masa apabila keluarga Cina menziarahi orang tua mereka dan ahli keluarga paling senior dalam seluruh keluarga mereka, biasanya ibu bapa, datuk nenek atau moyang.

Terdapat juga keluarga yang mengundang tarian singa sebagai upacara simbolik untuk menyambut tahun baru sambil menghalau puaka dan musibah dari rumah.

4. 3. Hari ke-2

Hari kedua Tahun Baru Cina atau hari "membuka tahun" (Cina Tradisional: 開年, Cina Ringkas: 开年, kāi nián) menyaksikan anak perempuan yang telah kahwin untuk menziarahi ibu bapa kandung mereka.[5] Menurut tradisi, anak perempuan yang telah kahwin mungkin tidak banyak berpeluang menziarahi keluarga kandung sendiri.

4. 4. Hari ke-3

Hari ketiga perayaan ini dipercayai ramai sebagai hari yang tidak sesuai untuk menziarahi saudara mara atas kepercayaan berikut:
Hari ini dikenali sebagai "mulut merah" (赤口 chì kǒu), yang bermaksud bahawa adalah amat mudah untuk terlibat dalam pergaduhan, maka hari ini tidak sesuai untuk ziarah-menziarahi, sebaliknya berdiam di rumah sahaja[5] Keluarga yang mengalami kematian ahli terdekat dalam jangka masa tiga tahun lalu tidak akan menziarahi rumah sesiapa sebagai tanda penghormatan kepada si mati. Hari ketiga Tahun Baru wajar dijadikan hari menziarahi kubur.[6]

4. 5. Hari ke-5

Di bahagian utara China, ladu (Cina Tradisional: 餃子, Cina Ringkas: 饺子, jiǎozi) dijadikan sarapan pada pagi "pecah lima" (破五, pò wǔ). Ini juga merupakan ulang tahun hari lahir Cai Shen, dewa kekayaan Cina. Di Taiwan, perniagaan biasanya dibuka semula pada hari tersebut dan diserikan oleh pemetik api.

4. 6. Hari ke-7

Hari ketujuh dikenali sebagai hari jadi orang ramai (人日, pinyin: rén rì, Kantonis: yan yat), iaitu hari yang mana usia setiap orang ditambah lagi setahun menurut pengiraan kalendar qamari Cina.[7]

Inilah harinya bila salad ikan mentah lambung, yee sang, dimakan. Kaum sekeluarga berkumpul untuk melambung salad berwarna-warni dan menyampaikan hajat bagi menambahkan kekayaan dan kemakmuran. ini merupakan adat resam yang terutamanya diamalkan oleh kaum Cina di rantau Asia Tenggara, seperti Malaysia dan Singapura, tetapi jarang diamalkan oleh kaum Cina di merata dunia selain rantau tersebut.[7][8]

4. 7. Hari ke-9

Hari kesembilan tahun baru merupakan hari bagi kaum Cina untuk menyembah Maharaja Jed di Kayangan (天公 tiān gōng) di tokong agama Tao.

Tambahan pula, hari ini dianggap sebagai "tahun baru" suku kaum Hokkien. Apabila tibanya tengah malam pada hari kelapan tahun baru, suku Hokkien menyembahkan doa syukur kepada Maharaja tersebut. Penyembahan ini termasuk tebu kerana tebu pernah digunakan untuk melindungi suku Hokkien dari ancaman penghapusan beberapa generasi lalu.

Teh dituang sebagai adat bagi menghormati orang ternama.

4. 8. Hari ke-15

Ini adalah hari terakhir perayaan Tahun Baru Cina yang diraikan sebagai Yuánxiāo jié (Cina Tradisional: 元宵節, Cina Ringkas: 元宵节), atau Chap Goh Mei (十五暝) dalam bahasa Hokkien, versi Cina bagi Hari Valentine. Tāngyuán (Cina Tradisional: 湯圓, Cina Ringkas: 汤圆), bebola pulut manis dalam sup, dimakan pada hari ini.Tāngyuán ialah sejenis makanan Cina yang diperbuat daripada tepung pulut. Tepung pulut ini dicampur dengan sedikit air untuk membentuk bebola, kemudian dimasak dan dihidangkan dalam air yang mendidih. Tangyuan bolehlah sama ada berisi atau tanpa isi. Bergantung kepada amalan setempat, hari yang sama ini juga dikenali sebagai Perayaan Tanglung.

5. Hidangan Tahun Baru

5. 1. Jamuan pertemuan semula

Jamuan pertemuan semula (Cina Tradisional: 團圓飯, Cina Ringkas: 团圆饭 tuányuán fàn) diadakan pada malam sebelum Tahun Baru, ketika semua ahli keluarga, sama ada tinggal di rumah atau jauh dari kampung halaman, bertemu untuk perayaan. Jamuan ini biasanya diadakan di rumah yang didiami anggota keluarga paling tua. Jamuan ini amat kaya dengan makanan yang lazimnya merangkumi daging ayam dan ikan. Ikan (Cina Tradisional: 魚, Cina Ringkas: 鱼, pinyin: ) sebagai makanan penting, tidak dimakan sampai habis (sebaliknya, bakinya disimpan semalaman), bak pepatah Cina nián nián yǒu yú (Cina Tradisional: 年年有餘, Cina Ringkas: 年年有余), yang bermakna "semoga ada lebihnya setiap tahun", yang sama bunyinya dengan "semoga ada ikan setiap tahun."[3][9]

5. 2. Intisari makanan

Nama Bahasa Cina [*] Huraian
Luohan zhai 羅漢齋 (罗汉斋) luóhàn zhāi Luohan zhai ialah hidangan vegetarian yang biasanya merangkumi 18 bahan, sering disaji pada hari pertama Tahun Baru. Sejenis lumut berbentuk rambut manusia, disebut "fat choy" dalam bahasa Kantonis sering menjadi ciri-ciri utama hidangan Buddha dan sajian lain, kerana namanya sama bunyinya dengan "kemakmuran". Suku kaum Hakka biasanya menyaji kiu nyuk (扣肉) dan yong tau fu.
Ikan 魚 (鱼) Ramuan yang penting sepanjang sambutan tahun baru. Sebutan perkataan Cina bagi ikan serupa dengan "lebihan" (bahasa Cina: 餘; pinyin: yú). Ramuan utama bagi yee sang.
Yee sang 魚生 (鱼生) yúshēng Salad ikan yang dilambung cebisan ramuannya apabila disambung untuk menyambut tuah.[8]
Ladu jiaozi 餃子 (饺子) jiǎozi Ladu ini dimakan di China utara kerana bentuknya serupa dengan tongkol emas Cina kuno, seolah-olah berisi tuah.
Limau mandarin 金橘 jīnjú; atau
gān
Limau ini merupakan buah-buahan paling kerap ditemui semasa perayaan tahun baru. Fungsi buah limau mandarin bagi masyarakat Cina ialah untuk dipuja di Tokong dan daunnya untuk buang sial, buah limau mandarin pula melambangkan kesejahteraan dan kemewahan.
Kuih bakul 年糕 niángāo Kuih ini paling laris didapati di China timur (Jiangsu, Zhejiang dan Shanghai) kerana namanya serupa sebutan dengan "kian tahun kian tinggi".[2]
Mi
Mi dihidangkan tanpa dipotong, melambangkan panjang hayat, namun amalan ini tidak terhad kepada sambutan tahun baru.
Gula-gula
Gula-gula dan buah-buahan kering disimpan dalam kotak gula-gula Cina berwarna merah atau hitam.
Tikoy
Puding yang diperbuat daripada tepung pulut, kanji gandum, garam, air, dan gula. Warna gula yang digunakan menentukan warna puding ini (putih atau perang).
[*]: Tulisan Cina diberi (tulisan Cina ringkas disediakan dalam kurungan jika berlainan dari bentuk tradisionalnya) diikuti pinyin.

6. Amalan Tahun Baru

6. 1. Ang pau

Secara tradisi, ang pau atau sampul merah (Cina Tradisional: 紅包, Cina Ringkas: 红包, pinyin: hóng bāo, bahasa Hokkien (POJ): âng-pau; bahasa Hakka: hung bao; 利是, 利市 atau 利事, bahasa Kantonis: lai shi atau lai see) diedarkan sepanjang sambutan Tahun Baru Cina, oleh pasangan suami isteri atau orang tua kepada muda-mudi yang belum berkahwin. Adalah satu kebiasaan untuk orang dewasa memberi sampul merah ini kepada kanak-kanak.[2]

Sampul merah ini sentiasa mengandungi wang, sama ada dua ataupun seratus ringgit. Jumlah wang dalam angpau sepatutnya bermula (bukan berakhir) dengan angka genap, kerana angka ganjil dikaitkan dengan wang tunai yang ditukarkan dalam upacara pengebumian (帛金, bó jīn). Oleh sebab angka 4 dianggap membawa sial, kerana perkataan untuk empat sama bunyinya dengan mati, maka wang dalam angpau tidak boleh berjumlah 4 ringgit. Sementara itu, angka 8 dianggap bertuah (kerana sama bunyinya dengan "kaya"), maka 8 ringgit selalu didapati dalam angpau. Kadang-kala syiling coklat dimasukkan dalam angpau.[10]


Bersambung

No comments:

Post a Comment