Bekas kekasih ugut santau, sebar gambar bogel
KUALA LUMPUR: Akibat memutuskan hubungan cinta, seorang wanita kini hidup dalam ketakutan apabila bekas teman lelakinya mengugut akan menggunakan santau selain mahu menyebarkan gambar bogel mangsa yang didakwa diambil ketika dia tidur.
Difahamkan, mangsa yang menjalinkan hubungan sejak enam tahun lalu itu memutuskan hubungan mereka selepas tidak tahan dengan perangai bekas teman lelakinya yang panas baran selain pernah mengugut akan membunuhnya.
Berikutan itu, wanita berusia 26 tahun itu ditemani bapanya membuat laporan polis kerana bimbang dengan ugutan lelaki terbabit. Menurut sumber polis, mangsa pada mulanya menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) berbaur ugutan daripada lelaki berkenaan yang mendakwa akan menggunakan santau dan menyebarkan gambar bogel mangsa Selasa lalu.
“Kandungan SMS terbabit menyatakan yang dia akan memalukan mangsa dengan menyebarkan gambar bogelnya kepada semua orang yang mengenalinya dan gambar terbabit didakwa diambil ketika mangsa sedang tidur.
“Bekas teman lelakinya itu memberitahu yang dia berang kerana mangsa memutuskan hubungan cinta mereka dan dia tidak dapat menerima hakikat hubungan yang dijalinkan sejak enam tahun lalu berakhir begitu saja,” katanya.
Menurut sumber itu, mangsa sebelum ini pernah beberapa kali meminta memutuskan hubungan kerana tidak dapat menahan kesabaran dengan sikap panas baran bekas teman lelakinya itu.
“Wanita berkenaan mendakwa sepanjang hubungan mereka itu , dia pernah beberapa kali dipukul bekas teman lelakinya itu.
“Malah, pernah ketika dia diugut bunuh jika masih mahu meneruskan niatnya memutuskan hubungan itu,” katanya. Difahamkan, selain mengugut mangsa, lelaki terbabit turut ke rumah mangsa bertujuan mengganggu dan menakutkannya serta mahu menagih kembali cinta yang terputus itu.
Sementara itu, Ketua Polis Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abd Jalil Hassan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan itu.
No comments:
Post a Comment