Produk Adi Putra didakwa tiru jamu tradisional, majun
2010/02/23
PETALING JAYA: Kemusykilan berhubung pihak bertanggungjawab membekalkan pil ubat penawar sendi tulang kepada syarikat milik kanak-kanak genius, Adi Putra Abdul Ghani , 11, hampir terjawab apabila Bahagian Penguat Kuasa Farmasi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merampas satu produk jamu tradisional yang 100 peratus mirip produk kontroversi berkenaan.
Produk jamu itu adalah majun dan dijual di utara tanah air.
Pengarah Penguat kuasa Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Mohd Hatta Ahmad berkata, produk majun dengan jenama Majun Dua Istimewa berkenaan mempunyai kandungan, rupa, bau dan bentuk sama dengan produk yang diedarkan syarikat Adi Putra.
Menurutnya, walaupun syarikat Adi Putra cuba mengemukakan bukti, namun jelas sekali produk milik syarikat kanak-kanak itu meniru produk majun terbabit termasuk tulisan dan label kandungan pada luar botol.
“Malah kesilapan perkataan ‘Siti halia’ yang sepatutnya ditulis ‘pati halia’ turut ditiru bulat-bulat pada label botol milik Adi Putra. Apa yang membezakan kedua-dua produk ini hanyalah harga apabila produk majun itu dijual pada harga RM6 berbanding produk Adi Putra yang dipasarkan pada harga RM25.
“Dalam sidang akhbar Adi Putra Sabtu lalu memberitahu pihaknya langsung tidak mengetahui pengilang yang membekalkan produk terbabit kepada mereka, malah memaklumkan produknya sudah diuji di makmal universiti di negara ini,” katanya.
“Bagaimanapun, pihak universiti dinyatakan menafikan berhubung ujian makmal dan kandungan selamat produk Adi Putra terbabit sebelum pihak Adi Putra memberi alasan baru kononnya produk miliknya sedang menjalani ujian makmal di Universiti Sains Malaysia (USM) dan makmal bebas di Singapura.
“Alasan demi alasan tidak konsisten ini menambahkan lagi keraguan pengguna apatah lagi Adi Putra tidak pernah mempunyai sebarang kelulusan atau pengetahuan akademik berhubung sains perubatan,” katanya.
No comments:
Post a Comment