KUALA LUMPUR: Seorang gadis berusia awal 20-an terpaksa berjalan lebih tiga kilometer untuk pulang ke rumahnya selepas dirogol rakan lelakinya di sebuah hotel bajet di Salak Selatan, di sini, Sabtu lalu.
Malah, mangsa yang tidak mempunyai wang juga dikatakan terpaksa mencuci pinggan di hotel berkenaan selepas rakan lelaki yang merogolnya bertindak melarikan diri tanpa membayar sewa bilik.
Difahamkan, pihak pengurusan hotel tidak mengetahui kejadian menimpa mangsa.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu, mangsa yang berada di rumahnya di Bandar Tun Razak, di sini, dijemput seorang lelaki yang juga kenalannya sebelum dibawa ke Taman Dagang, dekat sini, untuk menjamu selera di sebuah restoran.
Menurut sumber, mangsa kemudian dipaksa meminum arak walaupun dia berulang kali menolak pelawaan lelaki terbabit.
“Disebabkan keengganannya itu, lelaki terbabit mengugut akan meninggalkannya sendirian di kawasan berkenaan.
“Mangsa yang tidak mempunyai wang terpaksa mengalah lalu meneguk minuman keras berkenaan,” katanya.
Mangsa yang mabuk kemudian dibawa ke sebuah hotel bajet di Salak Selatan sebelum dirogol lelaki berusia lewat 20-an itu.
Katanya, mangsa hanya menyedari dirinya dirogol keesokan harinya selepas terjaga dari tidur.
Difahamkan, ketika itu, mangsa mendapati dia sedang berbaring tanpa pakaian di atas katil bersama lelaki berkenaan.
Tersentak dengan itu, mangsa kemudian mengejutkan lelaki terbabit sebelum berlaku pertengkaran antara mereka.
Katanya, berang dengan tindakan itu, lelaki terbabit meninggalkan mangsa sendirian di hotel berkenaan.
Sumber berkata, mangsa yang hendak meninggalkan hotel itu dihalang berbuat demikian kerana bayaran sewa bilik hotel itu masih belum dijelaskan.
“Mangsa yang tidak mempunyai wang kemudian diarahkan membasuh pinggan selain melakukan kerja pembersihan di hotel murah itu sebelum dibenarkan pulang,” katanya.
Beliau berkata, mangsa terpaksa berjalan sendirian ke rumahnya lebih tiga kilometer kerana tidak mempunyai wang, manakala telefon bimbitnya juga tidak mempunyai kredit untuk membuat panggilan.
Sebaik tiba di rumah, mangsa dihubungi lelaki terbabit sebelum diugut supaya tidak mendedahkan kejadian itu kepada umum terutamanya pihak berkuasa.
Sumber berkata, mangsa juga ditawarkan sejumlah wang tunai untuk menutup mulut.
Namun, mangsa yang bimbang mengenai keselamatannya membuat laporan polis di Balai Polis Salak Selatan, di sini.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Cheras, Superintendan Abdul Rahim Hamzah Othman ketika dihubungi, mengesahkan kejadian berkenaan dan memberitahu siasatan lanjut sedang dilakukan.
aduhai.. sudah jatuh ditimpa balak!
ReplyDelete