Friday, February 12, 2010

Sentuhan magis sains sukan hanya indah setakat di atas kertas sahaja

Rashid soal kenyataan ISN
Oleh Syed Riduan Ahmad

Sentuhan magis sains sukan hanya indah setakat di atas kertas sahaja

KETIKA Ketua Pengarah Institut Sukan Negara (ISN) Datuk Dr Ramlan Aziz menganggap sains sukan 'adalah segalanya' yang diperlukan bagi mengubah nasib negara di Piala Thomas nanti, Rashid Sidek bingkas menegaskan sentuhan magis sebegitu hanya indah setakat di atas kertas.

Bagi kejohanan peringkat tinggi seperti Piala Thomas, penekanan taktikal serta latihan fizikal harus menjadi keutamaan dalam proses menyediakan pemain menghadapi kejohanan badminton berpasukan dunia, dua tahun sekali itu.

Kesal dengan kenyataan Ramlan yang seakan-akan menganggap sentuhan sains sukan mampu mengubah nasib skuad badminton negara, ketua jurulatih perseorangan negara itu mengimbau kembali ketika kali terakhir negara membawa pulang piala berprestij itu.

"Ketika kami menang Piala Thomas pada 1992, belum ada khidmat sokongan seperti ditawarkan ISN," kata Rashid. "Bukan kami tidak pentingkan khidmat sokongan ISN, namun tanpa adanya program khusus untuk setiap pemain, ia hanya membazirkan masa yang sepatutnya ditumpukan kepada aspek permainan.

"Kalau setakat menjaga Lee Chong Wei seorang, itu kerja mudah," kata Rashid. "Semua orang mahu terbabit dengan Chong Wei, apabila dia menang boleh jadi bukti kejayaan program mereka.

"Pada peringkat ini, atlit elit seperti Chong Wei perlu memperhalusi soal strategi dan taktikal, bukan seminar umum mengenai pemakanan atau penjagaan kesihatan." Namun ia tidak bermakna Rashid atau jurulatih lain tidak menghargai usaha ISN, tetapi mungkin pelaksanaan mereka kurang berkesan akibat kekurangan kakitangan.

Mengenai harapan merangkul Piala Thomas tahun ini, Rashid menafikan dia sudah mengalah sebelum sampai masanya, tetapi kenyataannya sebelum ini adalah realiti yang juga harus dijadikan sebagai cabaran buat atlit negara. "Saya bercakap soal realiti dan pemain sedar hakikat ini dan menganggapnya sebagai satu cabaran."

No comments:

Post a Comment