Tuesday, February 16, 2010

Gagal kuasai 3M, Guru juga dipersalahkan?

Guru punca pelajar gagal kuasai 3M?

KUALA LUMPUR 14 Feb. - Pendedahan 60 peratus pelajar tahap satu di sekolah seluruh negara masih belum dapat menguasai kemahiran asas membaca, menulis dan mengira (3M) oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam mengejutkan rakyat negara ini.

Ahli-ahli akademik menyatakan mereka sangat terkejut dengan pendedahan tersebut dan berharap satu tindakan yang serius dan komprehensif perlu diambil oleh kerajaan bagi mengatasi masalah itu.

Tokoh pendidik, Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim berkata, keadaan itu berlaku mungkin berpunca kerana guru zaman sekarang hanya menolong pelajar membuat persiapan menghadapi peperiksaan sahaja tetapi tidak mendidik.

"Mereka langsung tidak mengenal pasti kelemahan menguasai perkara asas 3M itu tetapi hanya menyasarkan pelajar tersebut lulus peperiksaan semata-mata," katanya.

Katanya, kelemahan sistem pembelajaran sekarang juga menyebabkan guru-guru tidak dilatih dengan sempurna untuk benar-benar menjadi seorang pendidik.

Mengulas isu yang sama, Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof. Madya Dr. Mohd. Ali Hassan berkata, beliau terkejut dengan perkembangan itu dan menganggap masalah tersebut tidak boleh dipandang ringan.

"Sama seperti membina bangunan, jika asasnya tidak kukuh maka bangunan tersebut akan runtuh dan prasekolah merupakan asas pendidikan negara yang harus diberi tumpuan.

"Ketika ini, pelaksanaan prasekolah masih belum menyeluruh terutamanya di luar bandar dan jika guru gagal menumpukan aspek 3M, ia merupakan satu cabaran utama yang perlu diatasi Kementerian Pelajaran," katanya.

Tambah beliau, kurikulum dan modul prasekolah juga perlu dipertingkatkan semula agar pelajar tidak tertekan dan seronok untuk ke sekolah.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Hashim Adnan pula berpendapat, masalah itu timbul kerana Malaysia masih kekurangan program televisyen yang kreatif untuk menarik minat kanak-kanak.

"Berdasarkan pemerhatian saya, rancangan berbentuk pendidikan yang ditayangkan di televisyen seperti Along dan Sesame Street mampu meningkatkan penguasaan 3M di kalangan kanak-kanak.

"Malangnya, rancangan seperti ini tidak diketengahkan sebaliknya hanya rancangan berbentuk hiburan semata-mata mendapat tempat ketika waktu cuti sekolah," katanya.

Hashim berkata, proses pembelajaran kanak-kanak sangat berbeza dengan orang dewasa dan mereka tidak boleh ditekan dengan modul yang berat.

"Mereka lebih tertarik dengan sesuatu yang unik dan menyeronokkan seperti pembelajaran secara interaktif dan cara ini sudah digunapakai oleh negara maju.

"Saya mencadangkan agar Kementerian Pelajaran dan media massa tempatan bekerjasama merancang program yang kreatif dan mampu menyampaikan kemahiran 3M ini secara santai serta diterima kanak-kanak zaman sekarang," katanya.

No comments:

Post a Comment