Saturday, April 24, 2010

Terkejut dibuang sekolah

Terkejut dibuang sekolah

KUALA TERENGGANU: Akibat kerap datang lewat ke sekolah, seorang lagi pelajar tingkatan lima di sini mengadu sering ditampar guru disiplin, dihalau pulang dan akhirnya pada minggu lalu, dia dibuang sekolah.

Farahanin Othman, 17, berkata guru kelasnya menunjukkan kepadanya surat pembuangan sekolah bermula 14 April dan memberitahunya salinan surat itu akan dihantar ke alamat kediaman keluarganya di Kampung Manir, dekat sini.

Namun, sehingga kini dia belum menerima surat yang dimaksudkan dan mula risau dengan statusnya kerana akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akhir tahun ini.

“Saya sebenarnya terkejut apabila diberitahu dibuang sekolah kerana sudah beberapa tahun kerap hadir lewat ke sekolah kerana saya kini hanya bergantung dengan perkhidmatan bas awam yang memang terkenal dengan jadual waktu tidak menentu,” kata anak bongsu daripada tujuh beradik yang tinggal bersama ibunya, Wan Zawibah Wan Mohamad, 50, dan kakak, Nurul Hidayah, 19.

Katanya, ayahnya, Othman Mat Zain, yang sebelum ini bertugas sebagai Pengetua SMK Belara, sudah meninggal dunia hampir tujuh tahun lalu manakala abang dan kakaknya yang lain kini menetap di luar Terengganu.

“Kesihatan ibu pula tidak berapa baik dan dia tidak dapat menguruskan masalah saya hadapi, saya teringatkan arwah bapa kerana sekiranya dia masih hidup, mungkin saya tidak akan hidup merana seperti sekarang.

“Sebenarnya saya kurang gembira berada di rumah pada sesi persekolahan walaupun ia jauh lebih baik daripada apa terpaksa saya tempuhi ketika berada di sekolah,” kata gadis itu apabila ditemui di rumah kawan sekolahnya, Engku Noor Wahidah Engku Anuar, di Taman Desa Putra, Manir, kelmarin.

Engku Noor Wahidah turut dibuang sekolah kerana datang lewat dan kisahnya disiarkan kelmarin.

Farahanin berkata, dia mungkin dibuang sekolah kerana ada bersama Engku Noor Wahidah ketika bapa kawannya itu datang berjumpa guru disiplin dan pengetua sekolah Selasa minggu lalu untuk menyelesaikan masalah rakannya itu selepas didakwa lewat ke sekolah.

“Sebelum ini saya tidak pernah dibuang sekolah walaupun terpaksa menerima pelbagai hukuman yang menyakitkan dan memalukan di dalam bilik guru disiplin ataupun di khalayak ramai.

“Sebenarnya guru disiplin pernah memaksa saya menanggalkan baju dalam (camisole) di depan pelajar lain kerana saya memakai pakaian dalam berwarna merah jambu dan bukannya putih,” katanya.

Katanya, semua pakaian dalamnya dan pelajar lain termasuk coli bercorak bintik (polka dot) akan dirampas dan dipamerkan dalam bilik guru disiplin dan tidak dipulangkan kepada pelajar semula.

“Guru disiplin itu juga kerap menyelak tudung kami untuk melihat warna rambut kami dan sekiranya kami didapati menggunakan pewarna rambut yang bukan hitam, dia akan terus merobek rambut kami dengan gunting yang sentiasa berada di tangannya.

“Kalau nak diikutkan hati, ada baiknya juga saya dibuang sekolah kerana kini saya tidak lagi menjadi bahan kutukan dan penderaan guru disiplin sekolah yang saya anggap tidak berhati perut,” katanya yang pada masa sama mengaku risau dengan masa depan persekolahannya.

Bagaimanapun, katanya, dia mahu meneruskan pelajarannya sehingga selesai peperiksaan SPM kerana dia bercita-cita untuk menjadi seorang pendidik yang baik dan memahami masalah dihadapi pelajar.

“Saya diberitahu memerlukan surat pembuangan sekolah untuk memohon belajar di sekolah lain, namun takut ke sekolah untuk bertanyakan hal ini kerana kemungkinan besar akan ditampar lagi guru itu,” katanya.

“Saya mengaku saya mungkin seorang pelajar yang kurang pintar dan mempunyai banyak masalah disiplin, namun saya juga seorang insan yang dahagakan pelajaran dan sedikit kasih sayang untuk berjaya seperti pelajar lain yang sempurna kehidupan mereka,” katanya.

Sementara itu, usaha mendapatkan komen pengurusan sekolah dan pejabat pendidikan negeri kelmarin gagal.

Namun, Pengerusi Jawatan Kuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia, Ahmad Razif Abdul Rahman, berkata akan berusaha bertemu pelajar dan pihak pengurusan sekolah dalam masa terdekat untuk mencari jalan penyelesaian terbaik.

No comments:

Post a Comment