Halimaton batal hasrat kahwin
2010/04/13
Pelajar pintar mahu sambung semula persekolahan, buat persiapan duduki PMR
ALOR SETAR: Pelajar pintar, Halimaton Abd Rashid, 15, yang kini dalam perlindungan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk kaunseling, membatalkan hasratnya untuk berkahwin sebaliknya mahu menyambung semula persekolahan dan menumpukan pada persiapan untuk menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR), hujung tahun ini.
Halimaton, yang dilaporkan hilang dari rumah kakaknya di Bandar Puteri Jaya, Sungai Petani, sejak 22 Mac lalu, kerana ingin berkahwin dengan teman lelaki yang melarikannya, kini mahu kembali ke sekolah dan mengikuti pelajaran seperti biasa.
Dia yang dibawa pulang oleh keluarganya dengan bantuan kakitangan JKM dan polis Jumaat lalu, dikatakan merindui alam persekolahan, termasuk rakan dan gurunya di Sekolah Menengah Kebangsaan Parit Panjang.
Sumber yang rapat dengan keluarga gadis terbabit memberitahu, Halimaton yang sudah kembali ke pangkuan keluarganya kini beransur pulih dan dia semakin tenang selepas mendapat rawatan tradisional dan menjalani sesi kaunseling yang diberi oleh JKM.
"Ketika pertemuan pertama selepas menghilangkan diri, Halimaton sering menangis dan meminta maaf kepada keluarga terutama ibunya. Dia menyesal kerana melakukan kesilapan sebelum ini selain mendakwa segala yang berlaku sebelum ini tanpa disedarinya.
“Dia juga amat merindui rakan dan guru di sekolahnya selain ingin kembali bertemu dengan anak jiran yang mengikuti kelas Matematik yang dikendalikan Halimaton sendiri sebelum ini,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, di sini, semalam.
Katanya, Halimaton juga terkejut dengan laporan akhbar mengenai kisah dia ingin berkahwin dengan teman lelakinya, Mohamad Noor Abdullah, 19, dan ternyata dia amat sedih kerana semua itu berlaku tanpa disedarinya.
“Dia sebenarnya amat terkejut kerana bagi Halimaton, itu bukan dirinya yang sebenar,” katanya.
Difahamkan JKM Kedah juga akan membantu membawa Halimaton kembali untuk melanjutkan pelajarannya dengan kemungkinan dia ditukar ke sekolah lain demi masa depannya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hashim Ali ketika dihubungi berkata, tempoh reman teman lelaki pelajar pintar itu tamat hari ini.
Difahamkan, penyelia restoran di Langkawi itu yang ditahan polis sejak Jumaat lalu bagi membantu siasatan kerana menyebabkan kehilangan Halimaton serta menyimpan kad pengenalan gadis berkenaan.
Semalam, akhbar ini melaporkan Mohamad Noor ditahan polis pada Jumaat lalu. Dia ditahan di rumahnya oleh sepasukan polis dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi sebelum dihantar ke IPD Kuala Muda.
No comments:
Post a Comment