Friday, April 23, 2010

Mayat pelajar Tkn 2 tersangkut atas pokok 12 jam

Mayat pelajar tersangkut atas pokok 12 jam


Mohd Ridzuwan Baharom
Mohd Ridzuwan BaharomKANGAR: Seorang pelajar Tingkatan Dua maut apabila motosikalnya terbabas dan terjunam hampir 10 meter ke dalam cerun di Sungai Batu Pahat, di sini, kelmarin dan mayatnya yang masih berpakaian sekolah hanya ditemui kira-kira 12 jam kemudian tersangkut di sebatang pokok.

Dalam kejadian jam 11.15 pagi itu, Mohd Ridzuwan Baharom, 14, dari Kampung Abi, dekat sini, yang menunggang motosikal seorang diri terbabas ke dalam cerun, sebelum merempuh sebatang pokok besar dan mayatnya hanya ditemui pada jam 12 tengah malam.

Mayat mangsa ditemui tersangkut pada pokok berkenaan di dinding cerun yang dikatakan mempunyai kedalaman lebih 50 meter, selain motosikalnya yang rosak teruk tidak jauh dari lokasi mayat ditemui.

Berdasarkan maklumat, mangsa bersama lima rakan sekolahnya yang lain dikatakan menuju ke kawasan rekreasi berhampiran Kampung Telok Lalang, yang terletak di atas bukit di rimba rekreasi di Sungai Batu Pahat, di sini.

Mereka dikatakan menuju ke kawasan rekreasi berkenaan menggunakan tiga motosikal pada kira-kira jam 11 pagi.

Bagaimanapun, motosikal ditunggang Mohd Ridzuwan dikatakan mengalami kerosakan brek, menyebabkan mangsa berpatah balik menuruni bukit terbabit lebih awal seorang diri.

Selepas lima rakannya menuruni bukit berkenaan pada kira-kira jam 12 tengah hari, kelibat Ridzuwan tidak kelihatan dan mereka berusaha mencarinya. Namun selepas lebih enam jam usaha mencarinya di rumah dan sekolah gagal, kehilangan Ridzuwan dimaklumkan kepada keluarga, sebelum laporan polis dibuat.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Abdul Rahman Mohd Noordin, ketika ditemui berkata sebaik laporan diterima, gerakan mencari dan menyelamat mangsa dijalankan dengan kerjasama orang kampung, sebelum mayatnya ditemui kira-kira lima jam kemudian.

Beliau berkata, mayat mangsa ditemui kira-kira jam 12 tengah malam, dengan kesan kecederaan serius pada muka, kepala dan badan dipercayai akibat merempuh pokok besar terbabit hampir 10 meter di bawah cerun.

"Kita percaya mangsa gagal mengawal motosikal ketika menuruni bukit berikutan masalah brek dialami dan mayat mangsa dihantar ke Bilik Mayat Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini, untuk bedah siasat, sebelum dituntut keluarga untuk dikebumikan," katanya

No comments:

Post a Comment