Oleh Zalifah Mohd Yatim
2010/04/28
2010/04/28
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, bagi melaksanakan pendidikan seks atau dikenali pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial dapat disampaikan dengan mantap, kementeriannya sudah membuat persediaan dengan melatih guru sekolah menengah dan rendah menjalani kursus Jurulatih Utama (JU).
“Kursus JU bagi memberi pendedahan mengenai pelaksanaan pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial yang diajar di sekolah.
“Malah, ia juga bagi mencari pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang sesuai untuk diterjemahkan dalam sistem pembelajaran yang akan dilaksanakan di dalam kelas seperti yang dihasratkan dalam kurikulum,” katanya ketika menjawab soalan Senator Doris Sophia Brodi di Dewan Negara di sini semalam.
Menjawab soalan tambahan dikemukakan Senator Ir Zamri Yusof mengenai langkah dilakukan bagi memastikan pengajaran mata pelajaran itu difahami supaya menjadi amalan gaya hidup sihat dapat dilaksanakan beliau berkata, seramai 1,000 guru sekolah menengah dan rendah menjalani latihan JU itu.
“Kita memang melatih 1,000 JU Kebangsaan dan hanya guru terlatih yang mengajar subjek itu,” katanya.
Sebelum ini menjawab soalan lisan beliau berkata, bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan proses pengajaran dan pembelajaran kurikulum pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial, peranan ibu bapa amat penting.
Katanya, sikap keterbukaan ibu bapa membincangkan isu berkaitan seksualiti dengan anak dan sokongan guru dapat membantu memastikan keberkesanan kurikulum itu.
No comments:
Post a Comment