KUALA LUMPUR: “Soal jodoh adalah kehendak Allah, tetapi ada kalanya saya tertekan dan pedih dengan tuduhan pihak tertentu yang mempersoalkan hasrat saya untuk memperisterikan Maizawati,” kata bakal suami bekas isteri penceramah, Akhil Hayy, Maizawati Zainal.
“Permulaan pertemuan itu pun atas dasar perniagaan dan saya tidak tahu latar belakangnya. Saya meminta nombor telefonnya tetapi hanya diberi alamat e-mel.
“Perkenalan kami sebenarnya sangat singkat dan terbatas kerana masing-masing sibuk dengan kerja, tetapi ini yang dikatakan jodoh kerana hati kami terbuka untuk saling menerima.
“Alhamdulillah, ibu bapa saya juga terbuka hati menerima Maizawati walaupun tahu latar belakangnya, tambahan pula perkahwinan perkara terbaik untuk mengelak fitnah,” katanya yang dihubungi semalam.
Maz berkata, dia juga sebenarnya terkejut kerana anak Maizawati turut menerimanya dan tidak menunjukkan rasa kekok.
Bagaimanapun, sejak laporan mengenai hasratnya memperisterikan Maizawati disiarkan media, ramai pihak mengutuk, mencemuh serta mempersoalkan niatnya, terutama di laman web.
“Walaupun usia saya baru 24 tahun berbanding bakal isteri yang berumur 33 tahun, saya yakin dapat melaksanakan tanggungjawab sebagai suami dan bapa kepada anak Maizawati.
“Memang sedih melihat bagaimana orang lain menilai niat saya, mujur ahli keluarga memberi sokongan terhadap hasrat saya untuk mengahwini Maizawati,” katanya.
Harian Metro kelmarin melaporkan hasrat Maizawati mendirikan rumah tangga dengan lelaki pilihan hati yang sepatutnya berlangsung bulan depan terpaksa ditangguh kali ketiga berikutan keadaan kesihatan orang tua di kedua-dua pihak tidak mengizinkan.
Maizawati dilaporkan berkata, ibu bapanya serta ibu bakal suami tidak sihat, menyebabkan mereka membuat keputusan menangguhkan majlis perkahwinan sehingga tahun depan.
Maz yang bekerja sebagai chef berkata, ramai pihak mempersoalkan keputusannya berkahwin di usia muda dengan wanita lebih tua serta mempunyai anak.
“Pada usia muda begini memang kita banyak terdedah dengan aktiviti sosial sama ada sihat atau tidak, tambahan pula saya bekerja di Singapura, tetapi yang saya boleh katakan saya sudah lama berhenti daripada perkara sedemikian,” katanya.
Menurutnya, keadaan kesihatan ibunya dan ibu bapa Maizawati yang tidak mengizinkan menyebabkan majlis perkahwinan mereka ditangguh sehingga tahun depan.
“Ibu saya tidak boleh berdiri atau berjalan untuk tempoh lama kerana kakinya berasa sakit. Insya-Allah jika kesihatan mereka bertambah pulih, kami akan melangsungkan majlis tahun depan dan merancang masa depan kami,” katanya.
No comments:
Post a Comment