Sunday, April 18, 2010

Jenazah Achik Spin selamat dikebumikan

Jenazah Achik Spin selamat dikebumikan
18/04/2010 5:11pm

SUASANA pilu apabila isteri Allahyarham Abdillah Murad Md. Shari (Acik Spin), H.M. Rose Zaitul Suriani Wati Maarof sambil memangku anak bongsunya, Putri Nursumaiyyah, 10 bulan menatap wajah suaminya buat kali terakhir sebelum dikebumikan di Makam Tuan Haji Said, Seremban, 18 April . - Utusan/MD


RAKAN artis, Shah Indrawan Ismail atau Tomok (kiri) turut sama membantu mengusung jenazah Abdillah Murad Md. Shari atau lebih dikenali sebagai Achik Spin untuk dikebumikan di Makam Tuan Hj Said, Seremban, 18 April. - Utusan/MD.SHAHJEHAN MAAMIN

SEREMBAN: Jenazah vokalis kumpulan Spin, Achik yang meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan semalam selamat dikebumikan di Makam Tuan Haji Said di sini, kira-kira jam 1 tengah hari ini.
Jenazah kemudian dimandi dan dikafankan di hospital itu dan dibawa dengan van jenazah ke rumah mentuanya di Taman Desa Ros, Ampangan di sini kira-kira jam 11.30 pagi bagi membolehkan kaum keluarga dan kenalan terdekat memberi penghormatan terakhir.

Jenazah disembahyangkan di surau Taman Bukti, berhampiran Taman Desa Ros dan dibawa ke tanah perkuburan kira-kira 12.00 tengah hari.

Suasana sedih dan sepi menyelubungi rumah mentua Allahyarham yang dihadiri lebih 100 orang termasuk saudara mara dan penduduk kawasan berkenaan.

Antara artis yang hadir memberi penghormatan terakhir ialah Hattan, Siti Nordiana atau Nana, Tomok dan Lan Kristal.

Achik atau nama sebenarnya Abdillah Murad Md Shari yang popular dengan lagu 'Janji Kita' terbunuh apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki bersama sepupunya, Salihin Md Salleh, 29, terbabas lalu terbakar dan meletup di KM14.7, Lebuh Raya Kajang-Seremban (Lekas) dekat sini kira-kira jam 6.15 petang semalam.

Isteri Allahyarham, HM Rose Zaitul Suriani Wati Maarof, 29, berkata setengah jam sebelum kemalangan itu berlaku, suaminya ada menelefon meminta beliau dan anak supaya bersiap tapi tidak pula dinyatakan hendak ke mana.

"Bagaimanpun tak berapa lama kemudian saya dapat panggilan telefon yang menyatakan suami saya meninggal dunia dalam satu kemalangan. Berita sedih yang sungguh mengejutkan," katanya.

Katanya minggu lalu beliau sekeluarga pindah di sebelah rumah emaknya selepas seminggu sebelum itu Allahyarham beriya-iya mengemas rumah itu termasuk mengecatnya.

Katanya, ini akan memudahkan ibu mentuanya untuk 'melihat' isteri dan anaknya Sofia, 3 tahun dan Safia, 10 bulan," katanya.

Emak Allahyarham Badariah Awaluddin, 54, berkata kali terakhir beliau berjumpa Allahyarham dua minggu lalu di rumah salah seorang adiknya.

"Allahyarham nampak pendiam dan tidak seperti biasa. Allahyarham adalah anak kelima daripada 10 adik beradik. Suami saya (ayah Allahyarham) meninggal dua tahun lalu," katanya. Sementara itu, Siti Nordiana yang merupakan rakan rapat Allahyarham sejak kecil berkata beliau berasa amat sedih kerana dia adalah orang terakhir berjumpa Allahyarham di Angkasapuri, semalam.

Katanya Allahyarham memang tidak ada apa-apa perubahan, cuma Allahyarham lebih banyak hendak berbual dengannya, tidak macam biasa.

Semasa di Angkasapuri dia tumpang naik kereta Nana pada jam 5.30 petang semalam sebab keretanya jauh sedikit.....tahu-tahu jam 6 petang dia sudah meninggal dunia. Nana sangat sedih dan terkejut. Tambah sedih lagi semalam Nana lihat anaknya panggil ayah," katanya.

Hattan berkata, ia satu kehilangan kerana Allahyarham masih muda lagi dan aktif.

"Saya rasa sedih dan ia juga kehilangan besar buat Negeri Sembilan kerana tidak ramai penyanyi kelahiran Negeri Sembilan. Saya ucapkan takziah dan harap keluarga Allahyarham bersabar menerima dugaan ini," katanya.

Tomok, 26, pula berkata ketiadaan Allahyarham satu kehilangan besar dalam industri muzik.

"Saya amat terkejut dan sedih apabila mendapat berita itu semalam dan tidak sangka Allahyarham pergi dulu. Saya sudah lama tidak berjumpa Allahyarham iaitu sejak lebih setahun," katanya yang seangkatan dengan Allahyarham.

Lan Kristal, 25, pula berkata walaupun tidak rapat tapi terasa kehilangan Allahyarham.

"Saya dapat tahu berita kemalangan dan kematian Achik dari Siti Nordiana melalui khidmat pesanan ringkas," katanya.-Bernama

No comments:

Post a Comment