Thursday, April 1, 2010

Din Beramboi Meninggal Dunia

Din Beramboi Meninggal Dunia

Oleh WAHIDUZZAMAN

KUALA LUMPUR: Pelawak dan penyampai radio popular Din Beramboi atau nama sebenar Mior Ahmad Fuad Mior Badri, 44, disahkan meninggal dunia sekitar pukul 12.35 malam tadi di Hospital Selayang.

Kematian Allahyarham disahkan oleh Pengurus Saluran Astro Prima, Nizam Sani yang dihubungi oleh mStar Online.

Ketika diminta untuk mengulas mengenai berita sedih itu, Nizam bagaimanapun masih belum bersedia memberikan sebarang komen kerana masih terkejut. Pihak keluarga dan rakan terdekat Allahyarham juga gagal dihubungi.

Din yang dimasukkan ke Wad Rawatan Rapi (ICU) kerana mengidap Dengue Shock Syndrome sudah berada dalam keadaan kritikal sejak petang semalam. Allahyarham dimasukkan ke hospital pada petang Isnin lalu selepas mengalami demam yang mempunyai tanda-tanda denggi.

Berita selanjutnya selepas ini.


Berita Sebelumnya


Din Beramboi Disyaki Denggi Berdarah

Oleh KEMALIA OTHMAN

KUALA LUMPUR: Pelawak terkenal Din Beramboi atau nama sebenar Mior Ahmad Fuad Mior Badri kini dilaporkan dirawat kerana disyaki dijangkiti virus denggi berdarah dan menolak dakwaan kononnya dia diracun.

Anak perempuannya, Nil Aina Adibah Mior, 18, memberitahu keadaan bapanya kini lebih stabil dan masih direhatkan untuk rawatan perubatan.

"Hari ini ayah lebih stabil daripada semalam. Tekanan darah setakat ini lebih baik dari semalam dan dia juga kini sudah boleh menerima darah baru. Bagaimanapun ayah masih lagi direhatkan dan doktor pakar masih lagi merawatnya.

"Doktor memberitahu ayah disyaki denggi berdarah dan terdapat infection virus kencing tikus. Tapi doktor masih lagi membuat rawatan," jelasnya pemberita mengulas perkembangan kesihatan ayahnya ketika ditemui Hospital Selayang di sini har ini.

Menurut Nil, Din dimasukkan ke hospital pada petang Isnin lalu selepas mengalami demam yang mempunyai tanda-tanda denggi.

"Minggu lepas saya dan Ibu mengalami demam kemudian ayah pula, tetapi demam ayah teruk sehingga dia sendiri ke hospital swasta berhampiran. Namun selepas diperiksa, doktor hospital berkenaan menasihatkan ayah agar mendapat rawatan di sini.

"Selepas sampai di Hospital Selayang, dia terus dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi untuk diperiksa. Buat masa ini doktor mengesyaki ayah demam denggi," ujar anak pertama kepada pelawak dan DJ ini.

Dalam pada itu, Abang kepada Din, Shariffudin, memberitahu dia terkejut dengan laporan media mengatakan Din diracun dan memerlukan bekalan darah.

"Saya terkejut dengan berita yang pelbagai versi, saya yang masukkan Din ke sini pun tidak tahu yang dia terkena racun di Zoo. Itu mungkin khabar angin. Dia dimasukkan ke hospital kerana denggi berdarah.

"Saya juga terkejut semalam ramai yang datang untuk menderma darah. Doktor hanya memberitahu jika mahu menderma pergi ke unit lain tapi baru saya tahu ada khabar angin yang mengatakan Din memerlukan darah. Itu semua tidak betul.

"Saya harap orang di luar sana tidak menimbulkan sebarang spekulasi lagi, Din sekarang beransur baik dan dia sedang melalui proses rawatan. Saya harap peminat mendoakan yang terbaik kepadanya," jelasnya.

Selain itu, beberapa selebriti SuriaFM seperti Linda Onn, Halim Othman, Zizi dan rakan-rakan pelawak itu yang lain turut hadir menziarahinya.


Din Beramboi Koma

Din dikatakan telah terkena virus rats pee atau virus kencing tikus yang berbahaya semasa penggambaran beberapa hari lalu.

PETALING JAYA: Pelawak dan penyampai radio ERA FM, Mior Ahmad Fuad atau Din Beramboi dimasukkan ke Hospital Selayang semalam dan berada dalam keadaan koma.

Bagaimanapun, pengarah dan pelakon, Afdlin Shauki ketika dihubungi mStar Online memberitahu bahawa doktor masih lagi menunggu sehingga 24 jam bagi melihat perkembangan Din sama ada stabil atau tidak.

"Doktor mengesahkan Din telah terkena virus kencing tikus, namun masih lagi mencari punca air kencing tersebut dari mana, sama ada dari pemakanan, jangkitan ataupun secara langsung.

"Saya difahamkan ketika itu, Din sedang melakukan penggambaran untuk programnya bersama binatang di Zoo baru-baru ini.

"Saya juga difahamkan berlaku pendarahan dalaman dan buat masa ini dia masih lagi dalam keadaan koma dan kritikal," jelasnya.

Sementara itu, menurut jurucakap Airtime Management Programme (AMP), pihaknya masih belum dapat mengesahkan punca sebenar penyampai itu dikejarkan ke hospital.

"Kita akan memberitahu pihak media jika ada apa-apa perkembangan mengenai Din.

"Sama-sama kita doakan supaya beliau kembali sihat," katanya.

Begitu juga beberapa rakan DJ turut mengesahkan yang mereka juga menerima berita mengenai keadaan Din Beramboi.

Mereka menyatakan rasa terkejut dan sedih.

DJ Suria FM, Lin melalui Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) kepada mStar Online menyatakan bahawa mereka semua berhasrat untuk menziarahi Din Beramboi di hospital esok.

No comments:

Post a Comment