Pelajar Ponteng Ditemui Mati Dalam Gaung
KANGAR, 23 April (Bernama) -- Seorang pelajar tingkatan dua yang ponteng sekolah bersama lima rakannya, ditemui mati dalam sebuah gaung di kawasan berbukit di Telok Lalang, Sungai Batu Pahat dekat sini awal Jumaat.
Ketua Polis Daerah Kangar Supt Abdul Rahman Mohd Noordin berkata mayat Mohd Ridzuan Baharom, 14, yang parah di bahagian muka dan kepala, ditemui polis tersangkut pada pokok pukul 12.30 tengah malam tadi.
Pelajar itu yang menuntut di sebuah sekolah menengah di Abi di sini, disedari hilang oleh keluarganya setelah tidak pulang ke rumah pukul 6 petang semalam dan kakak Mohd Ridzuan membuat laporan polis mengenai kehilangannya pada 7 petang, katanya kepada pemberita di sini.
Abdul Rahman berkata polis bersama penduduk kampung itu melancarkan gerakan mencari mangsa selepas menerima laporan mengenai kehilangannya.
Katanya mangsa bersama lima rakan sekolahnya dipercayai menaiki bukit itu menggunakan tiga buah motosikal pukul 11 pagi semalam.
Semasa dalam pendakian bermotosikal itu, kenderaan yang ditunggangi Mohd Ridzuan mengalami kerosakan brek selepas terlanggar batu besar namun dia masih berhasrat untuk ke tempat yang lebih tinggi.
Menyedari masalah brek itu, rakan-rakan mangsa dikatakan menolak cadangannya supaya terus mendaki bukit itu, kata Abdul Rahman.
Mohd Ridzuan yang kecewa, turun seorang diri kerana rakan pemboncengnya juga enggan menaiki motosikal yang sama kerana masalah brek itu.
Rakan-rakan mangsa yang turun dari bukit itu setengah jam kemudian terus ke rumah mangsa untuk bertemunya, namun mereka hanya menyedari kehilangannya selepas Mohd Ridzuan gagal ditemui sama ada di rumah mahupun di sekolah.
Abdul Rahman berkata polis yang melancarkan gerakan mencari di kawasan berbukit itu berjaya menemui mayat pelajar berkenaan yang masih berpakaian seragam sekolah.
Mayat dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah di sini dan dituntut keluarganya untuk dikebumikan selepas bedah siasat.
Polis mengklasifikasikan kes itu sebagai kematian mengejut.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment