Siti Zubaidah gembira kembali belajar
KOTA BHARU: “Saya sudah tidak memikirkan mengenai perkara itu lagi walaupun ada guru sering bertanyakan kepada saya.
“Memang sebelum ini saya rasa amat marah dengan ayah, Hussin Mat Salleh, 54, tetapi ia sudah dilupakan. Saya gembira dengan keadaan sekarang dan mempunyai ramai rakan di sekolah,” kata Siti Zubaidah Hussin, 11.
Kanak-kanak yang pernah mencetuskan kontroversi selepas dinikahkan bapanya sendiri kepada lelaki tabligh bernama Sudin Ajaib itu berkata, dia kini terlalu gembira apabila dapat menjalani kehidupan normal seperti rakan sebayanya yang lain.
Menurut Siti Zubaidah, dia langsung tidak mahu mengingati segala pengalaman hitam yang dilalui mahu pun mengingati nama Sudin Ajaib.
Katanya, dia gembira dapat bersekolah di Sekolah Arab Riayatul Diniyah, Kampung Bukit Mas, Tanah Merah bermula 21 Mac lalu selain berkenalan dengan ramai rakan baru.
“Selepas pelajaran tergendala selama sebulan akibat dikahwinkan ayah, Februari lalu, saya kini gembira.
“Ramai guru bertanya di sekolah namun saya tidak dapat menceritakan kepada mereka kerana tidak begitu mengingati perkara itu,” katanya.
Katanya, selepas kejadian itu, dia kini sering ditemani ibunya, Siti Sarnan Mat Ali, 42, sekiranya keluar rumah.
Sebelum ini, akhbar melaporkan Siti Zubaidah dikahwinkan oleh bapanya, Hussin kepada rakan jemaah tanpa kerelaan anak perempuannya itu.
Selepas dikahwinkan, Siti Zubaidah dibawa ke Kuala Lumpur oleh lelaki itu pada 20 Februari sebelum ditemui semula kira-kira jam 6.30 petang di Madrasah Al-Ikhwan Taman Samudera Jaya, Batu Caves, selepas 23 hari.
Ibu bapanya kemudian memfailkan permohonan mufarakah terhadap pernikahan itu di Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu, pada 11 Mac lalu.
Sementara itu, Siti Sarnan, berkata pada 21 April lalu mahkamah mengeluarkan perintah kebenaran bagi meminta supaya defendan iaitu Sudin Ajaib supaya hadir ke mahkamah bagi keputusan pembatalan perkahwinan itu yang ditetapkan 22 Julai depan.
No comments:
Post a Comment