Tuesday, April 27, 2010

'Jangan lapor bukan-bukan', rayu ibu Aminulrasyid

'Jangan lapor bukan-bukan', rayu ibu Aminulrasyid
Jimadie Shah Othman
Apr 27, 10
2:37pm
Ibu kepada pelajar berusia 15 tahun, Aminulrasyid Amzah, yang mati ditembak polis awal pagi semalam, meminta polis menyiasat kes kematian anaknya dengan telus bagi "mencari keadilan".

Norsiah Mohamad, 60, seorang ibu tunggal, juga mendakwa anaknya itu tidak terlibat dalam aktiviti jenayah, seperti dilaporkan media.

"Saya tau anak saya, dia bukan seperti yang disebarkan dalam akhbar. Saya tau siapa anak saya," katanya dalam sidang media di rumahnya di Shah Alam hari ini.
Dalam sidang media itu, Norsiah ditemani oleh anak perempuannya, Norazura Amzah dan menantunya, Kamarudin Hassan.
Aminulrasyid merupakan anak bungsu daripada lapan adik beradik.
Beliau berharap media tidak melaporkan "yang bukan-bukan" kerana "saya sebagai ibu tak sanggup nak baca."

Ditanya sama ada pihaknya akan menyaman polis, Norsiah berkata, perkara itu akan dibincangkan bersama anggota keluarganya yang lain.

Ibunya kelihatan sedih dan bergenang air mata ketika mengulas perkara itu.
Laporan polis
Sementara itu, kira-kira jam 2 petang tadi, Norsiah turut membuat laporan di ibupejabat polis daerah (IPD) Shah Alam di Seksyen 11, antaranya menuntut kes anaknya itu disiasat ibu pejabat polis Bukit Aman sendiri.

“Saya meminta supaya suatu siasatan yang bebas dijalan oleh polis daripada ibu pejabat persekutuan PDRM (Polis Diraja Malaysia) Bukit Aman ke atas semua pihak polis yang terlibat termasuk pegawai atasan yang membenarkan insiden ini berlaku,” dakwanya dalam laporan tersebut.

Beliau ditemani beberapa pemimpin PKR dan aktivis peguam ketika membuat laporan tersebut. Turut hadir ialah ketua penerangan PKR Latheefa Koya, exco kerajaan Selangor Yaakob Sapari, ADUN Seri Setia Nik Nazmi Nik Ahmad dan ahli parlimen Kapar S Manikavasagam.

Aktivis peguam pula yang menawarkan diri sebagai peguam keluarga terbabit N Surendran dan Puspawati Romah, turut hadir.

Norsiah bagaimanapun enggan bercakap panjang kepada media kerana sudah mengadakan sidang akhbar di rumahnya di sebelah pagi.

“Saya mahukan pembelaan (arwah) untuk anak saya,” katanya ringkas.

Sementara itu, dalam laporan polisnya petang ini, yang salinannya ditunjukkan oleh Latheefa, Norsiah mempersoalkan kenapa kereta yang dipandu anaknya tidak ditahan atau dihalang sahaja kerana “Tiada ada apa-apa sebab munasabah kenapa pihak polis perlu menembak”.

"Saya ingin menegaskan anak saya tidak mempunyai apa-apa rekod jenayah dan tidak pernah terlibat dalam apa jua kes jenayah termasuk rompakan,” dakwanya dalam aduannya itu.

Ibu tunggal kepada lapan anak itu mendakwa, berdasarkan tembakan yang dilepaskan dari belakang, anaknya bukan satu ancaman kepada keselamatan pihak polis.

No comments:

Post a Comment