Cikgu pitam dalam Perodua Alza
2010/04/09
JOHOR BAHRU: Tindakan pantas kakitangan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Pasir Gudang memecahkan cermin belakang Perodua Alza menyelamatkan guru lelaki daripada mati lemas, selepas dia pitam di dalam keretanya, tengah hari kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira 12 tengah hari itu, guru berusia 35 tahun dikatakan baru selesai berurusan di PPD di Jalan Penaga, Pasir Gudang, sebelum memasuki kereta untuk pulang.
Bagaimanapun, sejurus memasuki keretanya guru terbabit dikatakan pitam sebelum kepalanya terhantuk stereng dan tertekan hon hingga menyedarkan kakitangan PPD yang keluar untuk melihat mangsa.
Keadaan bertambah cemas apabila usaha mengejutkan mangsa dengan mengetuk cermin dan memanggil namanya gagal, manakala cubaan membuka pintu tidak berhasil berikutan ia terkunci dari dalam. Risau perkara buruk menimpa guru terbabit, kakitangan PPD memecahkan cermin belakang kereta sebelum mangsa dikeluarkan dan dikejarkan ke HSI bagi mendapatkan rawatan.
Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Pasir Gudang, Zainuddin Sabani, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan sejurus kejadian dan jentera dikejarkan ke lokasi bagi membantu mangsa.
“Bagaimanapun, sebaik tiba di lokasi kami dapati pegawai PPD memecahkan cermin belakang Perodua Alza berkenaan.
“Kami dengan bantuan pegawai perubatan ambulans mengangkat mangsa diberikan rawatan. Mangsa dihantar ke hospital mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.
Menurutnya, hasil siasatan awal pihaknya percaya guru lelaki berkenaan pitam sejurus memasuki keretanya mungkin disebabkan cuaca panas atau kepenatan.
Katanya, sejurus memasuki kereta, pintu dipercayai terkunci secara automatik dan pada masa sama guru berkenaan tidak sedarkan diri.
“Mujurlah kakitangan PPD bertindak pantas dan memecahkan cermin belakang kenderaan itu bagi menyelamatkan mangsa yang pitam kerana jika tiada usaha menyelamat dilakukan, mangsa dikhuatiri maut akibat lemas,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Pelajaran Johor, Sufaat Tumin, berkata ketika sampai di hospital, guru terbabit masih belum sedarkan diri dan hanya pulih selepas mendapatkan rawatan daripada doktor dan menjalani pemeriksaan lanjut.
No comments:
Post a Comment