PIBG mohon maaf pada GPMS Kedah
BUKIT JENUN – Hasil perbincangan, Ahli jawatankuasa Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Model Khas Bukit Jenun (SMoKBJ) bersepakat mengemukakan permohonan maaf bagi pihak pengetua kepada Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) berkaitan notis yang didakwa memalukan pihak berkenaan.
Sinar Harian 10 April lalu melaporkan GPMS Kedah tidak teragak-agak membawa pengetua sekolah tersebut ke muka pengadilan bagi menebus semula maruah GPMS yang dicemari jika tidak membuat permohonan maaf.
Perkara ini dibuat berikutan GPMS mendakwa pihak sekolah berkenaan menghina mereka apabila seorang waris memaklumkan terlihat satu notis itu digantung di pagar sekolah ketika menghadiri Hari Anugerah Cemerlang SMoKBJ.
Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Model Khas Bukit Jenun (SMoKBJ), Ahmad Majid berkata, notis itu ditampal di pintu pagar utama sekolah pada 7 April sahaja memandangkan pada hari itu sekolah mengadakan Hari Anugerah Cemerlang dan tidak mahu ada gangguan daripada mana-mana pihak yang tidak diundang termasuk GPMS.
“Berdasarkan perbincangan PIBG dengan pihak sekolah, mereka tiada sebarang niat untuk memalukan mana-mana pihak dan tindakan tersebut hanya bertujuan memberi ruang menumpukan perhatian kepada persediaan majlis,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, jika pihak GPMS begitu terasa dengan notis yang ditampalkan itu, pihak PIBG memohon maaf kerana pihak sekolah tidak berniat untuk menjatuhkan mana-mana pihak.
“Sebarang isu yang disiarkan media disalahertikan pihak tertentu dan pihak berkenaan tidak perlu memanjangkan hal ini dan datang berbincang dengan pentadbiran sekolah atau PIBG.
“Pihak PIBG akan tetap mempertahankan pengetua dan pihak sekolah dalam isu berbangkit sebelum ini yang disiarkan media dan apa-apa urusan mengenai perkara tertuduh boleh merujuk kepada PIBG sekolah,” katanya.
No comments:
Post a Comment