Saturday, April 24, 2010

Memandu cara yang betul

Memandu cara yang betul





ELAK daripada menukar-nukar lorong di tol kerana boleh mengundang kemalangan.





KETIKA memandu di jalan raya, kita perlu menerapkan satu perkara yang paling asas di fikiran. Kita tidak keseorangan. Jalan raya adalah tempat yang digunakan secara bersama, maka sama ada anda memandu sebuah kereta murah atau berharga berjuta-juta ringgit, ia merupakan lorong yang kita semua wajib patuhi.

Jalan raya direka dengan sistem dan undang-undang. Kenderaan juga begitu, datang dengan sistem. Jadi apabila sistem tidak dipatuhi, maka kepincangan seperti kemalangan dan kesesakan akan terjadi.

Nilai sendiri kualiti pemanduan anda. Setiap orang memiliki daya kepekaan berbeza sewaktu memandu. Ada orang yang tidak pernah mengalami kemalangan walaupun jarang memandu perlahan. Ramai juga yang keretanya calar balar biarpun memandu pada posisi seperti mencium stereng.

Perbezaannya adalah kepekaan dan teknik memandu.

Adakah anda sering menjadi sasaran kemarahan pemandu lain atau adakah anda sering diekori rapat ketika memandu dan dihala dengan lampu tinggi?

Jika semua ini berlaku, ini bermakna memang ada yang tidak kena dengan gaya pemanduan anda. Satu perkara penting yang harus diingat, ketika memandu anda harus memastikan setiap pergerakan dapat dijangka oleh pemandu lain.

Pandu secara konsisten

Pastikan anda memandu secara konsisten, tidak kiralah agresif atau tidak. Ini perlakuan yang baik bagi membantu pemandu lain menjangka pergerakan anda.

Banyak padahnya jika tidak memandu dengan konsisten, atau dengan kata lain memandu seperti orang yang tiada pedoman. Sekejap laju, sekejap perlahan. Ini konsep yang penting dan harus diamalkan bagi mengelakkan pemandu lain di sekeliling tidak terkejut dengan perubahan perilaku pemanduan anda.

Kelajuan yang betul

Sebagai contoh, jika had kelajuan di lebuh raya ialah 90km/j dan majoriti pemandu lain memandu di antara 90 hingga 110 km/j, janganlah anda memandu 90km/j di lorong paling kanan. Beredar ke lorong tengah atau ke lorong paling kiri jika anda tidak berminat untuk menyamai kelajuan pemandu lain.





KEMALANGAN jalan raya antara penyumbang utama kematian di seluruh dunia.




Beri isyarat jika anda terpaksa memandu perlahan kerana hendak mencari sesuatu lokasi atau kereta mengalami masalah mekanikal. Dengan memberi isyarat, pemandu lain akan faham dan seboleh-bolehnya beri laluan kepada kenderaan lain di belakang.

Jika kereta lain masih sukar untuk melepasi anda kerana keadaan trafik, sentiasalah mencari peluang atau posisi yang sesuai untuk membolehkan kereta lain memintas dan meneruskan perjalanan dengan lancar.

Jangan mengekori kenderaan di hadapan terlalu rapat. Jika kereta di hadapan tidak memberi laluan dan kereta dari arah bertentangan tidak putus-putus, sebagai pilihan terakhir, kembali ke jarak selamat dan beri lampu tinggi secara sopan (jangan dinyalakan berkali-kali).

Pemandu di hadapan mungkin akan faham dan bertimbang rasa untuk memberi laluan kepada anda. Jika anda pula berada dalam keadaan dirapati oleh kenderaan belakang, anda dinasihatkan untuk memberi laluan.

Guna cermin sisi

Cermin sisi direka untuk melihat ke belakang. Gunakan cermin sisi, cermin pandang belakang dan melihat titik buta (blindspot) sebelum memotong. Ini kerana mungkin ada kenderaan di belakang anda yang sedang memotong dalam kelajuan tinggi.

Beri laluan kepada mereka dahulu. Apabila selesai mereka memotong, barulah anda meneruskan pemanduan di lorong kanan.

Lampu isyarat jangan lupa

Menggunakan lampu isyarat untuk menunjukkan ke mana arah anda supaya pergerakan tidak mendatangkan kejutan kepada pemandu lain. Seelok-eloknya bagi isyarat lebih awal, terutama dalam keadaan trafik yang sibuk. Jangan sudah hampir memasuki simpang, baru hendak memberi signal atau suka-suka bertukar lorong tanpa melihat kenderaan di belakang.

Brek dengan perlahan

Jika anda perlu membrek, tekan dengan perlahan-lahan. Bagi amaran awal kepada pemandu di belakang. Sebagai anggaran untuk masa membrek yang praktikal, lihat kereta selang kereta di hadapan anda. Membrek secara mengejut merupakan perbuatan berbahaya.

Jika keadaan trafik memaksa anda membrek secara mengejut (kemalangan atau sebagainya) cuba cari ruang lega di hadapan agar kenderaan di belakang anda mempunyai masa yang cukup untuk membrek.

Memecut pada masanya.

Memecutlah di tempat sepatutnya seperti apabila lampu isyarat bertukar hijau atau ketika giliran anda di simpang bertanda berhenti.

Ia membantu mempercepatkan kelancaran trafik. Sebaik lampu bertukar hijau, bersedia dengan kedudukan gear dan kemudian terus bergerak. Jangan 5 saat sudah lampu trafik bertukar hijau baru terkial-kial mencari tuil gear.

Jika hendak memasuki trafik yang sedang bergerak, anggar dengan baik dan pantas masuk ke dalamnya. Jadi, anda tidak memaksa pemandu dari belakang menekan brek. Cuba bersabar, tunggu ruang yang agak luas dan terus masuk dengan pantas.

Berhenti di tempat sepatutnya

Tiada faedah berhenti melebihi garisan. Ini hanya boleh menyusahkan kenderaan lain dan mungkin alat pengesan lampu isyarat juga tidak dapat mengesan anda.

Di persimpangan jalan raya dengan saiz jalan yang terhad, anda hanya menjadi penghalang kepada kenderaan dari simpang bersebelahan. Ia akhirnya akan memperlahankan trafik secara keseluruhan.

Jangan berhenti di tengah jalan tanpa tujuan. Jika terpaksa berhenti di bahu jalan, berikan isyarat dan bukannya berhenti sesuka hati.





PEMANDUAN berhemah dapat menyelamatkan anda dan orang tersayang.




Beretika

Jika berada di lebuh raya yang sedang sesak, pilih lorong anda dan tetap di situ. Jangan terlalu kerap bertukar lorong kerana ia tidak membuatkan anda lebih pantas menuju ke destinasi.

Sebaliknya, ia membuatkan keadaan trafik bertambah teruk. Jika kenderaan di lorong sebelah kanan anda dipandu laju melepasi anda, tidak perlu anda meningkatkan kelajuan kerana hendak menunjuk-nunjuk.

Jangan memotong ikut kiri. Ini perlakuan yang berbahaya dan dikategori kurang sopan ketika lebuh raya sesak dan biasa dilihat pada musim perayaan.

Selain menyalahi undang-undang, ia berbahaya kepada kenderaan lain yang berhenti di lorong kecemasan kerana rosak.

Lampu kecemasan

Lampu kecemasan (hazard light) adalah untuk kecemasan. Ia digunakan ketika kenderaan berhenti, bukannya ketika sedang bergerak. Bukan sama sekali digunakan ketika hujan. Ketika hujan, pasang lampu utama. Walaupun pihak berkuasa selalu menggunakan lampu kecemasan ketika mengiringi konvoi, jangan sesekali anda menyalakan lampu itu ketika anda berkonvoi.

Anda tidak kacak untuk berbuat begitu dan hanya membahayakan pengguna lain.
Bayangkan anda menyalakan lampu kecemasan ketika hujan kemudian perlu masuk ke simpang kiri. Jadi bagaimana?

No comments:

Post a Comment