Wednesday, April 14, 2010

Bekas pelajar mengaku salah

Bekas pelajar mengaku salah

KUALA TERENGGANU 13 April – Seorang bekas pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM), Chendering, mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dakwaan membuang bayi, lebih dua tahun lepas.

Tertuduh, Zarina Sulaiman, 21, dari Kemaman, mengaku melakukan perbuatan itu ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd Yusoff Yunus.

Mengikut fakta kes, Zarina dituduh secara rahsia telah membuang mayat seorang bayi perempuan yang dilahirkan olehnya sama ada telah mati sebelum, semasa, atau selepas dilahirkan olehnya dan dengan sengaja telah menyembunyikan kelahiran bayi itu.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di Asrama Sutera UiTM Cawangan Chendering, Kubang Ikan, Chendering, dekat sini, antara 11 malam dan 12 malam, 29 Januari 2008.

Dia didakwa mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan, yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun.

Mahkamah kemudian menetapkan 26 Mei ini sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan sosial tertuduh dan menawarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,500 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, tertuduh tidak mampu membayar wang ikat jamin tersebut dan dihantar ke Penjara Pengkalan Chepa.

Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Marzita Subaker.

Dalam kejadian itu, mayat seorang bayi perempuan ditemui dalam keadaan separuh terbakar di celah timbunan sampah di tempat pembuangan sampah di kawasan asrama berkenaan oleh seorang tukang sapu.

– BERNAMA

No comments:

Post a Comment