Saturday, January 2, 2010

Orang PPD datang!

Lebih kurang jam 10.00 pagi, hujan turun dengan lebatnya, tetapi hanya untuk beberapa minit sahaja, kemudian berhenti, dan sekali sekala menjadi gerimis. Keadaan ini berlarutan hampir 2 jam.

Seperti biasa juga, hari-hari pertama ini juga PPD dan JPN sibuk mengarahkan pegawai-pegawai mereka untuk pergi ke serata sekolah memantau P&P dan lain-lain aktiviti. Sekolah ini juga tidak ketinggalan menerima pegawai PPD Encik Aziz Selamat.

Encik Aziz memantau beberapa kelas dan kelihatan membuat beberapa catitan, mungkin laporan kepada pegawai atasannya. Hampir 2 jam baru kelibat Encik Aziz hilang dari pandangan. Mungkin sudah keluar dan ke sekolah yang lain pula.

P&P masih berjalan lagi. Hari ini kelas dijadualkan berakhir pada jam 2.05 petang. Ramai juga guru yang sibuk melengkapkan persediaan mengajar dan maklumat kelas di bilik guru. Pengetua nampaknya sibuk melayan rungutan dan aduan guru-guru mengenai jadual waktu.

Waktu terakhir hari ini tiba, dicorong pembesar suara terdengar suara meminta semua warga sekolah menadah tangan untuk mengaminkan doa. Doa dibacakan untuk hari pertama ini. Selesai doa, semua warga dijemput ke surau untuk berjemaah solat Zuhur.

Bila loceng berbunyi, barulah kedengaran bunyi riuh dan bising dari pelajar-pelajar yang berasak-asak turun ke bawah untuk kembali ke rumah. Seruan untuk berjemaah disahut oleh segelintir pelajar sahaja, manakala yang lain-lainnya berpusu-pusu ke arah tempat parkir basikal dan motorsikal. Suasana bingit sekali dengan deruman enjin motorsikal pelajar. Mereka lepas geram agaknya!

Kini sekolah kembali sepi dan aman dari kebisingan dan menunggu hari esok.

No comments:

Post a Comment