Saturday, January 30, 2010

Cikgu Lepas Tangan?

KUALA LUMPUR: Cukup malang apabila seorang pelajar perempuan terpaksa menunggu bersama ibunya hampir sejam di hadapan sekolahnya di sini, dalam keadaan tangan berlumuran darah bagi mendapatkan teksi untuk ke klinik selepas mendapat kemalangan dalam kawasan sekolah.
Ini gambar hiasan saja

Apa yang menghairankan apabila pihak pengurusan sekolah terbabit dikatakan hanya membalut luka pada tangan kiri mangsa menggunakan pembalut sebelum menghubungi keluarga untuk menjemputnya pulang.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 4 petang, 19 Januari lalu, mangsa, Nurul Asyikin Jamaludin, 14, terjatuh dari tangga ketika pergi ke bilik guru untuk mendapatkan semula sejadah miliknya yang disimpan di pejabat sekolah bagi menunaikan solat Asar berjemaah.

Ketika kejadian itu, Nurul Asyikin dikatakan ditemani rakan sekelasnya sebelum dia terjatuh dari tangga.

Difahamkan, kecederaan dialami mangsa disebabkan besi pemegang tangga berkenaan terkopak selain berkarat terkena pada tangannya ketika dia cuba berpaut bagi mengelakkan terjatuh.

Bapanya, Jamaludin Abu Kasim, 39, berkata sejurus kejadian pihak sekolah menghubungi isterinya, Latifah Che Mat, 29, memaklumkan kejadian berkenaan selain mengarahkan menjemput anaknya itu.

“Sebaik tiba di sana, isteri saya mendapati tangan kiri Nurul Asyikin berdarah tanpa henti. Mana tidaknya, mereka (guru) hanya menggunakan pembalut nipis untuk menutup luka berkenaan.

“Ini yang saya tidak puas hati, kenapa mereka tidak membawa anak saya ke klinik sedangkan keselamatan pelajar ketika sesi persekolahan berlangsung adalah tanggungjawab mereka,” katanya.

“Pihak sekolah sepatutnya lebih menitikberatkan keselamatan pelajar,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Difahamkan, sehingga kini tangan kiri Nurul Asyikin masih mengalami pendarahan kecil biarpun sudah dirawat.

Jamaludin berkata, dia tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang sekiranya berlaku perkara tidak diingini kepada anak perempuannya itu.

Sehubungan itu, Jamaludin dan keluarganya membuat laporan di Balai Polis Wangsa Maju, di sini, untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Sektor Pengurusan Sekolah Wilayah Persekutuan yang enggan namanya disiarkan berkata, kejadian berkenaan adalah insiden yang tidak dijangka dan tidak perlu diperbesarkan mana-mana pihak.

“Sebenarnya, kami sudah memberikan rawatan kecemasan kepada pelajar terbabit sebelum pihak sekolah menghubungi ibunya memaklumkan kejadian berkenaan. “Ibunya sendiri mendakwa mahu menjemput anaknya untuk dibawa ke hospital dan kita (pihak pengurusan) terpaksa patuh kepada keinginannya itu.

“Ini kerana, ia adalah satu daripada etika yang ditetapkan pihak pengurusan sekolah. Malah, kita juga sudah bersiap sedia untuk membawa anaknya sekiranya mendapat kebenaran daripada waris pelajar berkenaan,” katanya.


Sumber

No comments:

Post a Comment