Sunday, January 17, 2010

Ancaman Islam liberal ke atas Ahli Sunnah

Bersama Muhammad Uthman El-Muhammady

Aliran baru berorientasikan Barat pengaruhi Muslim untuk tolak hukum, ajaran al-Quran

JIKA kita mengingati kembali nasihat Dr Yusof Qaradhawi bulan lalu, ternyata ia tepat dan benar, sekali gus menjadikan kita berkewajipan untuk menjaga jati diri keagamaan Malaysia dalam Ahli Sunnah. Dalam soal ini, selain mesti mengelak diri daripada pengaruh dan cara berfikir Wahabi kita juga mesti berwaspada terhadap pengaruh pemikiran Islam liberal. Kalau dalam aliran Wahabi digunakan cogan kata tajdid, pembaharuan, pemurnian daripada apa yang disangkakan bidaah, pembebasan diri kononnya daripada kejumudan, kemajuan umat dan kembali kepada fahaman salaf.

Dalam 'Islam liberal' atau 'Aliran Liberal Dalam Islam (Islamic Liberalism)' kita berdepan dengan cogan kata membebaskan diri daripada kawalan ilmu Islam klasik yang dulu dan berfikir mengikut cara baru seluas-luasnya, termasuk menolak perkara pokok ajaran al-Quran, sunnah nabi, ijmak ulama dan sistem ilmu Islam yang baku itu atas nama huraian dan pandangan cara baru yang lebih benar dan munasabah dengan pemikiran masa kini.


Islam Liberal satu cara dan gaya baru memahami agama Islam dan ilmunya sedang mengancam agama Islam aliran arus perdana yakni Ahli Sunnah di Malaysia dan di dunia Melayu. Aliran ini yang datang daripada tajaan negara luar tertentu, boleh dilihat elemennya, antaranya dalam buku suntingan Leonard Binder bertajuk Islamic Liberalism dan buku suntingan Charles Kurzman, Liberal Islam A Source Book, ia juga boleh dilihat dalam himpunan tulisan dari negara luar tertentu seperti Islam Liberal dan Fundamental Sebuah Pertarungan Wacana, yang di dalamnya ada karangan oleh Abdurrahman Wahid, Mustafa Bisri, Haidar Baqir, Ulul Abshar Abdalla, Goenawan Mohamad dan Benny Susetyo.

Nampaknya, aliran ini mahu 'mencairkan', bahkan menghilangkan ilmu dan keyakinan dalam Ahli Sunnah kerana mungkin ia disangka sebagai pemikiran yang menghalang keselesaan hidup dan budaya pihak luar. Ia nampaknya berupa 'serangan' intelektual, moral dan rohani terhadap Islam itu sendiri, bercanggah dengan al-Quran, sunnah, ijmak dan kias seperti yang ada dalam kerangka ilmu dan kaedah dalam Islam.

Misalnya, dalam pendahuluan buku Liberal Islam A Source Book Charles Kurzman menyebut mengenai cara gaya Islam Liberal atau 'modes of Liberal Islam' (hlm 13-26) dengan menggariskan beberapa 'unsur seperti 'syariah yang liberal' kerana ia tidak bersetuju dengan syariah yang tegas mengikut ajaran syarak dalam fiqah, 'syariah yang senyap' dalam hubungan dengan perkara yang syariah 'senyap' mengenainya, yakni perkara yang syarak tidak berbicara mengenainya, penentangan terhadap apa yang disebut sebagai 'theodicy' , atau pelaksanaan syarak sebagai hukum Tuhan, sebab pada mereka ia bukan 'hukum Tuhan' sebaliknya syariah yang mentafsirkannya. Dengan menekan syariah yang dihuraikan oleh manusia walaupun syariah berasal daripada sumber rabbani, pada mereka ia tafsiran manusia. Oleh itu tidak sunyi daripada tersilap. Ini disusuli dengan penerangan mengenai penentangan terhadap 'theodicy', sokongan terhadap demokrasi Barat, hak wanita secara Barat, hak orang bukan Islam dilihat secara Barat, kebebasan berfikir dan akhirnya kemajuan. Tajuk itu dihuraikan mengikut konsep Barat mengenai kebebasan manusia dan haknya kerana tujuannya hendak 'membaiki' pemikiran Muslimin supaya 'serasi' dengan mereka.

Kali ini, penulis hanya ingin memperkenalkan sebahagian kecil daripada ciri pemikiran seorang daripada 'syeikh' terbesar aliran ini iaitu Mohammed Arkoun. Secara ringkasnya maklumat mengenai beliau ialah seperti berikut:

Dia berketurunan Berber, di Afrika Utara, dilahirkan pada 1928, mendapat ijazah kedoktorannya di Sorbonne, Paris, menjadi Profesor Pengajian Islam di sana pada 1963. Sekarang, beliau profesor dalam Falsafah Islam di sana, dan sangat dikagumi dan disenangi Barat.

Dalam buku sejak 1970, beliau membentuk cara baru penafsiran Islam melalui kaedah sosial-saintifik terutama melalui kaedah ilmu linguistik atau ilmu kaji bahasa. Ia memperjuangkan apa yang disebut sebagai sikap 'pluralisme' dalam Islam, menerima penafsiran pelbagai terhadap teks suci Islam, yakni ia membuat huraian mengenai isi kandungan kitab dengan secara tidak mengikut panduan ulama Ahli Sunnah, tetapi mengikut fahaman sendiri berdasarkan teori linguistik Barat dan teori budaya. Beliau sangat lantang dalam membentangkan 'Islam Liberal' sedemikian.

Antara penulisannya mewakili sikap berkenaan ialah Rethinking Islam To-Day dalam Liberal Islam A Sourcebook ed.Charles Kurzmanoup, 1998 hlm 205-221.

  • Pengajian agama gaya Arkoun:

    Katanya antara lain: "Pengajian mengenai agama, khususnya tidak sempurna dengan definisi yang 'rigid', dan kaedahnya diwarisi daripada teologi dan metafizika klasik. Sejarah agama sudah menghimpunkan fakta dan gambaran pelbagai agama, tetapi agama sebagai dimensi sarwajagat wujud manusiawi tidak didekati dari perspektif epistemologi yang relevan. Kelemahan dalam pemikiran moden ini lebih tergambar nyata dalam penulisan yang lemah, 'conformist' dan kadang-kadang polemikal mengenai agama Kitabi seperti yang kita akan lihat nanti. Disebabkan ini semua, perlu dibuang halangan yang ada dalam penulisan Islam dan orientalist mengenai agama Islam dan diberikan perhatian dalam universiti kita kepada usaha mengajar dan menyelidik sejarah sebagai satu antropologi masa lalu dan bukan sebagai naratif memberi penerangan mengenai fakta."

  • Antara kaedah yang digunakan:

    Katanya, ia mahu membebaskan (sebenarnya membuang) Islam daripada unsur dan ajaran yang berupa metafizika klasik dan akidahnya (teologi). Sebenarnya, perkara yang sedemikian tidak mungkin dibuat kerana metafizika klasik dalam Islam memberi pengajaran mengenai Tuhan, wahyu, nubuwwah, alam bukan benda, al-maad (alam yang kesudahan sekali), konsep masa dan alam abadi. Perkara sedemikian ini adalah soal akidah yang hakiki, dan dalam Islam ia perkara wajib. Ini termasuk beriman kepada perkara yang ghaib.

    Pada Ahli Sunnah teologi arus perdana itu awal-awal lagi diajarkan, disusun secara sistematik oleh al-Asy'ari, al-Maturidi, Tahawi dan seterusnya oleh imam. Tidak mungkin ini dibebaskan daripada Islam. Tanpa perkara ini, Islam tidak ada lagi, yang ada ialah kekufuran.

  • Pendekatan sejarah, sosiologi, antropologi:

    Katanya: "Saya berkeras menegaskan mesti diambil pendekatan sejarah, sosiologi, dan antropologi, bukannya dengan menafikan kepentingan pendekatan teologi dan falsafah, tetapi untuk menggayakannya (yang teologikal dan falsafah itu) dengan memasukkan ke dalamnya keadaan sejarah dan sosial nyata yang Islam selalu amalkan di dalamnya. Kaedah saya ialah 'deconstruction'. Berabad-abad lamanya agama didominasi oleh konstruksi (pembinaan) faham kehidupan (worldview) yang berlainan dan rumit. Melaluinya semua realiti dipandang, dihakimi, diklasifikasikan, dan diterima, ditolak, tanpa kemungkinan dilihat kembali kepada proses mental sejarah yang membawa kepada faham kehidupan (worldview) itu. Strategi dekonstruksi hanya mungkin dengan epistemologi moden yang kritikal".
Pada Ahli Sunnah, faham mengenai kehidupan (worldview) adalah perkara wajib bagi akal manusia untuk menerima atau menolak sesuatu sebagai panduan (sebagai 'hudan'). Dengan fahaman dan yakin mengenai ajaran yang stabil dan tetap, maka pendirian kita tetap teguh, bukan sentiasa bergerak dan tidak tetap. Kalau ia sentiasa bergerak, ia tidak boleh diguna sebagai neraca untuk menimbang sesuatu fahaman yang salah. Isyaratnya ialah 'tidak ada perubahan pada kalimah Tuhan itu' (Quran, Yunus, 64).

Rasulullah SAW menyebut mengenai 'golongan yang selamat' (al-firqah al-najiyyah) itu memberi maksud bukan golongan atau kelompok manusia secara am saja, tetapi merujuk kepada manusia yang selamat pada hakikat sebenar kerana mereka mempunyai kefahaman dan ilmu serta beramal mengikut dasar nabi dan sahabatnya ('ma ana 'alaihi wa ashabi'). Daripada kenyataan ini dan pelbagai lagi yang sepertinya timbul 'ajaran mengenai pemikiran dan tindakan yang baku' itu yang kita sebut sebagai Ahli Sunnah Wal Jamaah. Kalau kita sebut negara kita Malaysia, maka kita tegaskan pegangan dan amalan Muslimin Malaysia ialah Ahli Sunnah Wal Jamaah. Wajib kita menjaga kemurnian dan kebenaran akidah Ahli Sunnah ini dan sistem ilmunya dari dasar dan kaedahnya.

Perkara yang meruntuhkannya seperti penolakan metafizika dan teologi atau akidah oleh Arkoun dan yang sepertinya, serta 'worldview'nya hendaklah dihadapi dengan cara yang berkesan. Kaedah sejarah, sosiologi dan antropologi seperti yang ditunjukkan oleh ibn Khaldun dan Malik Bennabi boleh digunakan untuk mengayakan wacana Ahli Sunnah tetapi bukan untuk meruntuhkannya atau menukarnya dengan sesuatu yang lain, sebab hujah dan dalil membuktikan bahawa tidak ada wacana yang boleh menggantikan wacana ini dari segi kebenaran, kestabilan, penyebab keselamatan dan kesejahteraan hakiki. Wallahu alam.

1 comment: