Sunday, May 23, 2010

Ibu bapa marah guru gunting rambut pelajar

Oleh Samadi Ahmad

DENGKIL: Tindakan seorang guru sebuah Sekolah menengah di sini, menggunting rambut lebih 20 pelajar perempuan yang melepasi dahi menimbulkan suasana kecoh di sekolah itu apabila ibu bapa pelajar terbabit tampil bagi menuntut penjelasan pengurusan sekolah berkenaan.
Sebelum kejadian, pelajar tingkatan dua dan satu sekolah terbabit ditahan selepas menghadiri perhimpunan pagi pada jam 2 petang, selepas guru terbabit mendapati mereka tidak mematuhi peraturan sahsiah diri ketika di sekolah, Khamis lalu.
Guru itu yang dipercayai sudah memberikan amaran kepada pelajar terbabit sebelum ini nekad sambil dibantu pengawas, menggunting rambut pelajar terbabit yang melepasi dahi sehingga ada antara mereka yang menangis kerana malu. Rasa malu dan trauma disindir rakan menyebabkan pelajar terbabit menghubungi ibu bapa yang kemudian tampil dengan perasaan bengkeng di sekolah bagi mempertahankan anak mereka yang mematuhi peraturan sekolah. Keadaan kecoh apabila 10 ibu bapa yang hadir di sekolah itu meluahkan rasa marah terhadap guru terbabit bertindak keterlaluan memotong rambut anak mereka tanpa memberi amaran terlebih dahulu.

Bapa pelajar terbabit, Danny Lim, 44, mendakwa terkejut dan tidak puas hati dengan tindakan guru terbabit sambil menuntut penjelasan pengurusan sekolah. Menurutnya, berdasarkan buku undang-undang dan peraturan sekolah, pelajar terbabit tidak melakukan kesalahan, malah menyepit rambut dengan kemas bagi mengelakkan ia terurai. Bukan itu saja, dakwaan Danny itu turut disokong ibu seorang pelajar lain, Tam Pui Yen, 38, yang mendakwa kejadian itu menimbulkan rasa trauma terhadap anaknya yang malu dan sukar menghadapi peperiksaan yang dihadapi pada hari ini.

“Bagi saya tidak ada guru terbabit perlu memotong rambut anak saya yang saya dapati tidak melakukan kesalahan dan mahu guru berkenaan memohon maaf secara terbuka kepada pelajar dan ibu bapa,” katanya, semalam.

Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu, Abdul Manap Harun, mengakui sudah menerima laporan berkaitan kejadian itu daripada pihak sekolah.

No comments:

Post a Comment