Carlo Ancelotti sedang menyatakan sesuatu kepada penyerang Chelsea, Drogba.
Gambar kecil, Frank Lampard (kiri) dan Malouda (kanan).
LIVERPOOL: Carlo Ancelotti percaya Chelsea memiliki 93 sebab mengapa mereka berhak dimahkotakan juara Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini yang juga gelaran pertama selepas empat tahun, ketika saingan berbaki dua perlawanan, hari ini.
Halangan pertama adalah pertembungan dengan musuh tradisi, Liverpool di Anfield malam ini, yang menjadi perlawanan mesti menang The Reds dalam usaha terakhir melayakkan diri ke kancah Liga Juara-Juara musim depan.
Manchester United, yang berkunjung ke Sunderland, hanya satu mata di belakang The Blues, namun Ancelotti yakin skuadnya memiliki cukup kuasa pemusnah untuk menang di Anfield berdasarkan bukti Blues sudah menggegar 93 gol musim ini.
Pengurus kelahiran Itali itu yang melihat anak buahnya membelasah Stoke City 7-0 di Stamford Bridge minggu lalu berkata: “Saya cuba mengubah sesuatu musim ini dengan menerapkan gaya bermain baru di padang. Dan saya fikir, kami sudah memilikinya dan ia identiti yang baik.
“Jika melihat bagaimana Chelsea beraksi ketika ini, anda boleh mengecam ia adalah gaya permainan Chelsea. Kami menjalani latihan setiap hari, bermain dengan melancarkan serangan dari bawah dan menggunakan sepenuhnya kualiti pemain. Kadangkala, kami melaksanakannya dengan cukup baik.
“Untuk beberapa perlawanan, saya gembira melihat aksi mereka, seperti ketika bertemu Stoke minggu lalu. Saya tidak terfikir pasukan ini mampu menjaringkan sebegitu banyak gol.
“Kami memiliki penyerang yang bagus dan mempunyai pemain tengah yang mampu menjaringkan 25 gol musim ini. Tiada pasukan lain mampu melakukan seperti itu. Kami mempunyai penyerang berkualiti dan mendapat sokongan pemain tengah.
“Frank Lampard meledak 25 gol dan Florent Malouda menjaring 15 dan mereka bukan penyerang. Inilah bukti mengapa kami dapat menjaringkan begitu banyak gol,” katanya.
Sekalipun memiliki rekod jaringan hebat, Chelsea juga tewas dalam lima perlawanan di tempat lawan, sama seperti United, tetapi Ancelotti akui barisannya lebih berisiko apabila beraksi di luar London, sesuatu yang tidak mampu dijawabnya. – AFP
No comments:
Post a Comment