Wednesday, May 5, 2010

Barca semakin garang buru gelaran




MADRID - Barcelona meraih kemenangan kedua berturut-turut bagi meneruskan pemburuan kejuaraan Liga Sepanyol apabila dua jaringan Liones Messi (gambar) membantu mereka menewaskan Tenerife 4-1 awal pagi semalam.
Kesilapan Carles Puyol pada minit ke-39 membolehkan Tenerife menyamakan kedudukan menerusi Roman selepas Messi meledak gol pertama Barcelona pada minit ke-17.
Namun tiga lagi gol menyusul buat Barcelona pada babak kedua menerusi jaringan Bojan Krkic (63), Pedro (77) dan Messi (90).
Dengan baki dua perlawanan, Barcelona memecah rekod Liga Sepanyol dengan kini mengutip 93 mata, hanya empat mata mengatasi pasukan di tangga kedua, Real Madrid yang berdepan Mallorca awal pagi tadi.
Kutipan 93 mata daripada 36 perlawanan itu mengatasi rekod 92 mata yang dikumpul Real ketika dibimbing Fabio Capello pada musim 1996/97.
"Kami kini memiliki 93 mata dan saya sendiri seakan tidak percaya. Kami perlu menang ke atas Sevilla pada aksi selepas ini jika mahu muncul juara.
"Ini merupakan perlawanan ke-17 yang kami lalui dengan jarak setiap perlawanan tiga atau empat hari. Keinginan para pemain cukup mengagumkan," kata jurulatih Barcelona, Pep Guardiola.
Baki dua perlawanan selepas ini menyaksikan Barcelona akan bertemu Sevilla dan Real Valladolid manakala Real pula berdepan Athletic Bilbao dan Malaga.
- Reuters

No comments:

Post a Comment