KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengarahkan Pengarah Pelajaran Kelantan untuk menyiasat dengan terperinci dakwaan seorang guru di sebuah sekolah di Pasir Mas menggunakan seterika untuk mengejutkan pelajar bersolat Subuh.
Sambil menegaskan bahawa insiden sedemikian tidak boleh dibiarkan sekiranya benar, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata tindakan setimpal perlu diambil terhadap guru berkenaan sekiranya didapati bersalah.
"Pihak sekolah perlu mengambil berat dan memandang serius hal begini kerana kita ada peraturan dan disiplin yang telah kita tetapkan dan pihak pengetua atau guru besar adalah orang bertanggungjawab selain guru disiplin.
"Kalau apa yang disebutkan murid ini terbukti betul maka kita tidak boleh biarkan, tindakan setimpal perlu diambil terhadap sesiapa sahaja yang lakukan hal sebegitu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pameran dan Persidangan BioMalaysia 2010 di sini Isnin.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kes dera membabitkan dua pelajar yang mendakwa diseterika oleh seorang warden, yang juga guru sekolah, sebagai cara untuk mengejutkan pelajar menunaikan solat Subuh di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bunut Susu di Pasir Mas, Kelantan 12 Okt lalu.
Muhyiddin berkata sekolah sepatutnya menjadi tempat yang selamat kepada para pelajar agar mereka dapat menghayati pembelajaran dengan baik.
"Kita memang hendak pastikan sekolah kita ini sekolah yang jauh daripada perkara-perkara yang boleh menyebabkan bahaya kepada pelajar-pelajar kita, kalau ia dilakukan oleh orang yang kita pertanggungjawabkan walaupun jumlahnya kecil, ini tidak boleh dibiarkan," katanya.
Muhyiddin, yang turut ditanya mengenai penambahbaikan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), berkata cadangan penambahbaikan itu akan memastikan supaya pembelajaran dibuat secara lebih interaktif dan menyeronokkan.
"Kita perlu tambah baik di mana ada penilaian sebanyak 60 peratus menerusi subjek-subjek teras seperti Matematik, Sains dan Bahasa Inggeris yang dahulunya 100 peratus.
"Empat puluh peratus lagi daripada lain-lain yang dipanggil ko-kurikulum dan bidang-bidang yang ada hubung kait dengan pembelajaran secara interaktif, persekitaran," katanya.
Beliau berkata butiran lanjut mengenai cadangan-cadangan penambaikan peperiksaan berkenaan akan diumumkan kemudian.
Rundingan meja bulat terakhir mengenai pelaksanaan UPSR dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) bersetuju supaya UPSR dikekalkan tetapi diberi penambahbaikan, manakala PMR diganti dengan penilaian sekolah.
Format baru UPSR dan PMR akan diperkenalkan mulai sesi persekolahan 2016.
Ditanya sama ada penambahbaikan itu akan memberi tekanan kepada pelajar, Muhyiddin berkata pendekatan baru itu diharap akan dapat mengurangkan masalah tekanan oleh para pelajar akibat terlalu banyak peperiksaan yang perlu dihadapi.
"Saya tidak fikir begitu (pelajar tertekan) kerana kita hendak kurangkan masalah itulah maka tujuannya kita nak elakkan daripada bentuk ala peperiksaan yang menyebabkan pelajar rasa tertekan," katanya.
Beliau berkata kementerian akan melatih semula guru-guru supaya penyampaian pelajaran dapat dilakukan dengan berkesan dan menyeronokkan. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment