Wednesday, November 3, 2010

Murid tahun 2 maut dihempap tiang gol

Murid tahun 2 maut dihempap tiang gol


SEORANG murid berjalan di tepi tiang gol bola baling yang dikatakan telah meragut nyawa Mohd. Khairi Iskandar Onzek di Kepala Batas, Pulau Pinang semalam.


KEPALA BATAS 3 Nov. - Kegirangan lima sahabat bermain sesama mereka di padang sekolah berakhir dengan tragedi apabila seorang daripadanya maut akibat dihempap tiang gol bola jaring.
Kejadian berlaku ketika mereka cuba mendirikan tiang gol itu yang dibaringkan di atas tanah oleh pihak sekolah untuk kerja-kerja baik pulih padang.
Malang menimpa murid tahun dua Sekolah Kebangsaan Kepala Batas itu, apabila tiang gol tersebut terjatuh lalu menimpanya, dalam kejadian Isnin lalu.
Kemalangan pukul 12 tengah hari itu berlaku ketika Mohd. Khairi Iskandar Oznek, 8, dan rakan-rakannya yang bersekolah pada sesi petang, pergi ke padang tersebut untuk bermain.
Pengarah Pelajaran negeri, Ibrahim Mohamad berkata, akibat kemalangan itu, mangsa mengalami cedera parah di kepala dan dikejarkan oleh pihak sekolah ke Hospital Kepala Batas.
Katanya, mangsa kemudian dirujuk ke Hospital Pulau Pinang sebelum disahkan meninggal dunia pukul 8 pagi ini.
"Kita masih menunggu laporan lengkap mengenai kejadian itu dari pihak sekolah dan melahirkan rasa simpati di atas kejadian terbabit," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Sementara itu, bapa saudara mangsa, Sahizan Mohd. Said menjelaskan, mangsa adalah anak kedua daripada tiga beradik dan abangnya turut belajar di sekolah sama.
"Sebelum dia ke sekolah, saya sempat jumpa Mohd. Khairi yang singgah di rumah datuknya di Kampung Paya, kira-kira 200 meter dari sekolah.
"Saya terkejut apabila menerima panggilan daripada pihak sekolah yang memaklumkan kejadian itu.
"Ketika dibawa ke hospital, banyak darah keluar dari mulut dan kepala dia," ujarnya.
Pada masa ini, menurutnya, pihak keluarga belum terfikir untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak sekolah kerana menganggap ia suratan takdir.
Bagaimanapun mereka sekeluarga merasai kehilangan Mohd. Khairi yang lincah, periang dan disenangi ramai.
Dalam pada itu, ibu bapa mangsa, Salmah Mohd. Said, 34, dan Oznek Jasin, 35, enggan ditemubual kerana masih bersedih dengan kejadian itu.
Jenazah pelajar itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pajak Song di sini selepas solat Asar hari ini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Zulkifli Alias mengesahkan menerima laporan kejadian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

No comments:

Post a Comment