|
|
Hujan mula turun di lembah kering ini sejak pukul 3 petang semalam (pukul 8 malam waktu Malaysia) ketika kebanyakan jemaah mula meninggalkan khemah masing-masing untuk melakukan ibadah melontar jamrah untuk hari ketiga.
Sejak tengah hari semalam, Mina diselubungi awan hitam dan angin kuat sebelum hujan turun. Walaupun reda selepas beberapa jam, hujan gerimis berterusan menyebabkan banjir pada paras buku lali di jalan-jalan raya di Mina menuju ke Mekah.
Kenderaan terkandas di jalan raya yang ditenggelami air dengan polis trafik membantu mengeluarkan kenderaan kecil.
Air banjir yang menuruni bukit menderu masuk ke dalam khemah-khemah dan menghanyutkan tilam dan barangan lain yang diletakkan di lantai, mencetuskan kekecohan di kalangan jemaah.
Jalan raya Mina akhirnya dipenuhi pelbagai jenis sampah-sarap termasuk jam tangan dan barangan kemas yang tidak sempat diselamatkan.
“Kami sudah bersiap sedia menghadapi hujan seperti yang dijangka. Alhamdulillah, hujan turun pada hari terakhir ibadah haji ketika jemaah berada di Mina.
‘‘Jika hujan turun lebih awal maka semua mekanisme pentadbiran akan mengalami kesukaran besar,” kata seorang pegawai Pertubuhan Jemaah Asia Selatan.
Televisyen Arab Saudi merakamkan keadaan jemaah yang melontar dan melakukan tawaf rukun mengelilingi Kaabah ketika hujan.
Beratus-ratus jemaah masih berada di Mina untuk melakukan ibadah melontar yang memerlukan mereka menetap di sana sehari lagi untuk berbuat demikian.
Bagaimanapun kesemua jemaah berpendapat hujan yang turun merupakan tanda ibadah haji mereka diterima dan memuji pihak berkuasa Arab Saudi atas usaha memudahkan urusan menunaikan rukun Islam kelima itu pada tahun ini.
Sementara itu, Pertahanan Awam menempatkan anggota keselamatan di Mekah dan di tapak-tapak suci untuk menghadapi sebarang kemungkinan ekoran hujan lebat petang semalam.
“Tiada yang dilaporkan mati lemas atau kecederaan akibat hujan lebat di Mekah.
Bagaimanapun, persediaan telah dibuat untuk memindahkan kem-kem di Mina jika ia diancam banjir,” kata Ibrahim. – AGENSI
No comments:
Post a Comment