Banjir ragut enam nyawa
ALOR SETAR – Banjir besar yang melanda tiga negeri iaitu Kedah, Perlis dan Kelantan sejak Isnin lalu telah meragut enam nyawa sehingga lewat petang semalam.
Dalam kejadian di Kampung Telaga Emas, Pokok Sena di sini, dua beradik iaitu Siti Nadia Syukor, 13, dan adiknya Sharifah, 8, dikatakan hanyut setelah motosikal yang ditunggangi bersama seorang rakan mereka, Intan Malik, 14, tiba-tiba hilang kawalan dan terjatuh ke dalam arus tali air.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Abdul Ghafar Rajab berkata, ketiga-tiga mereka kemudian hanyut di dalam tali air yang mengalir deras.
“Tetapi Intan sempat berpaut pada sebatang pokok sebelum diselamatkan oleh penduduk manakala dua beradik malang itu hanyut dibawa arus,” katanya.
Dalam pada itu, mayat seorang warga emas berbangsa Jerman yang dihanyutkan arus deras berhampiran rumahnya di Kampung Kerenjis, Kota Giam, Jitra kelmarin ditemui oleh pasukan penyelamat kira-kira pukul 5.45 petang semalam.
Menurut Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Supritendan Sawaluddin Hamenuddin, mayat Erna Fisher, 64, ditemui tersangkut di sebatang pokok berdekatan rumahnya.
Sebelum itu, seorang kanak-kanak berusia 13 tahun, Mohd. Zaki Amani Shaari ditemui mati lemas ketika memukat ikan di kawasan bendang bersama abangnya di Kampung Charok Bongor, Kuala Nerang pada pukul 5 petang kelmarin.
Di Perlis pula, seorang remaja, Muhammad Nurul Afiq Mohd. Rozaidi, 21, dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam Terusan Arau ketika menunggang basikal di Sungai Baru, Kangar semalam.
No comments:
Post a Comment