Monday, November 22, 2010
Lebih 6,000 penjawat awam bermasalah
PUTRAJAYA - Jumlah penjawat awam yang bermasalah dan berprestasi rendah meningkat kepada :6,133 orang pada tahun lalu berbanding 5,344 atau 0.84 peratus pada 2008.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Abu Bakar Abdullah berkata, antara masalah yang dihadapi adalah disiplin, hubungan interpersonal, psikologi, prestasi rendah serta kesihatan kronik seperti penyakit jantung, kanser dan kencing manis.
“Masalah disiplin, kesihatan dan prestasi rendah merupakan tiga masalah paling utama,” katanya semasa berucap merasmikan majlis pentauliahan Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (Akrab) kali keenam 2010 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, di sini, semalam.
Sehubungan itu, beliau menyarankan agar rakan pembimbing membantu pihak pengurusan sumber manusia dalam mengatasi masalah yang timbul selain mempamerkan diri mereka sebagai model contoh kepada rakan sekerja yang lain dengan mengamalkan nilai-nilai positif dan menunjukkan tatalaku yang boleh dicontohi.
“Ahli psikologi berpendapat rakan sekerja akan berasa lebih selesa berbincang dengan rakan sekerja berbanding dengan pegawai atasan mereka. Selain itu teguran daripada seorang rakan lebih mudah diterima berbanding teguran ketua yang mudah disalah tafsir sebagai hukuman lisan,” katanya.
Abu Bakar berkata, elemen sistem sahabat perlu dimasukkan ke dalam modul pasca Akrab dan seterusnya menggerakkan sistem sahabat kepada ahli Akrab secara lebih tersusun dan komprehensif.
“Misalnya seorang Akrab akan segera menghubungi rakan ‘buddy’nya jika didapati ‘buddy’nya itu sedang menghadapi masalah kesihatan atau kewangan yang boleh menjejaskan tugas-tugas hariannya dan bantuan segera akan dihulurkan kepada rakan :tersebut semampunya,” katanya.
Pada majlis itu, 1,027 pegawai ditauliahkan sebagai rakan pembimbing perkhidmatan awam menjadikan jumlahnya bertambah kepada 3,583 orang sejak dilaksanakan 2005. - Bernama
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment