Wednesday, November 3, 2010

3 jam paut pokok

Oleh Mohamad Hussin dan Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor
mohamad@hmetro.com.my


TENGGELAM...laluan ke Hospital Kuala Nerang turut dinaiki air.

AGIH...petugas mengagihkan bekalan makanan kepada mangsa banjir di Pekan Kuala Nerang, semalam.

JITRA: “Saya melihat sendiri bagaimana ibu mentua dihanyutkan air, tetapi tak mampu menolongnya kerana nyawa saya dan suami juga pada waktu itu bagai telur di hujung tanduk.”

Demikian kata Ashalehah Zain, 40, yang terselamat daripada lemas selepas berpaut pada sebatang pokok hampir tiga jam apabila banjir menenggelamkan rumahnya di Kampung Kota Giam, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, suami Ashalehah, Yusuf Abdullah, 41, seorang warga Jerman turut mengalami pengalaman serupa, namun ibu Yusuf, Erna Fischer, 64, hanya mampu berpaut pada pokok selama satu minit sebelum dihanyutkan arus deras dan masih belum ditemui sehingga petang semalam.

“Saya dan suami yang berpaut pada pokok berasingan hanya mampu bertawakal kepada Allah SWT kerana sedar nyawa kami dalam bahaya,” kata Ashalehah.

Ashalehah dan Yusof diselamatkan anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Kedah, kira-kira jam 11.30 malam selepas menerima maklumat penduduk kampung berkenaan.

Ashalehah berkata, sebelum kejadian dia dan suami serta ibu mentuanya keluar daripada kediaman mereka sejurus melihat air sungai membanjiri rumah mereka hingga ke paras pinggang.

Menurutnya, tidak sampai seminit mereka keluar, tiba-tiba arus deras menolak mereka hingga ke sungai kira-kira 300 meter dari rumahnya.

“Saya sempat berpaut pada sebatang pokok di tepi sungai itu manakala suami berpaut dan memanjat pokok kira-kira lima meter daripada saya.

“Saya dengar ibu menjerit meminta tolong dan lama-kelamaan suara itu semakin sayup dan tidak kedengaran lagi,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, malam kelmarin.

Ashalehah berkata, dia nampak ibu mentuanya dibawa arus deras melalui sungai itu dan terkilan kerana tidak sempat menyelamatkannya.

Bagaimanapun, Ashalehah menyifatkan dia bernasib baik kerana ketika kejadian, anaknya yang berusia 13 dan 10 tahun berada di asrama sekolah.

Katanya, dia sudah tujuh tahun tinggal bersama suami di kampung berkenaan dan kadang-kala ibu mentuanya melawat mereka dan tinggal antara dua atau tiga bulan sebelum pulang ke Jerman.

“Sepatutnya hari ini (semalam) ibu pulang ke Jerman kerana tiket penerbangan sudah ditempah. Namun, segala-galanya sudah ditakdirkan dan saya hanya mampu berdoa supaya ibu selamat,” katanya.

Penduduk kampung, Ropian Hasan, 51, berkata, dia menemui pasangan suami isteri itu selepas terdengar suara meminta tolong dari pokok tidak jauh dari rumahnya.

“Saya meredah air separas dada ke kawasan pokok itu dan terkejut mendapati seorang lelaki dan seorang wanita sedang berpaut pada dua batang pokok,” katanya. Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Kota Setar, Leftenan Muda Khairul Afzan Yassin berkata, pihaknya mengambil masa hampir satu jam untuk menyelamatkan kedua-dua mangsa.

“Kami mengerah 150 anggota dalam misi menyelamat mangsa di empat daerah yang terbabit banjir,” katanya.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Sawaludin Hamenudin pula berkata, Erna dilaporkan hilang kira-kira jam 8.30 malam ketika keluar menyelamatkan diri bersama anak dan menantunya.

No comments:

Post a Comment