Wednesday, July 7, 2010
WC2010: Germany Tumbang di separuh akhir
WC2010: Germany Tumbang di separuh akhir
Pasukan Sepanyol bimbingan Vicente del Bosque, menepati ramalan apabila berjasya menempah tiket terakhir untuk bertemu dengan pasukan Belanda dalam final 11 Julai ini.
Mereka berjaya menundukkan pasukan Jerman dengan jaringan tunggal oleh pemain pertahanan Sepanyol Carlos Puyol pada separuh masa kedua.
Gol itu hadir,hadir pada minit ke-73 apabila sepakan sudut yang diambil oleh Xavi ditanduk masuk oleh Puyol.
Puyol yang berada dalam kotak panelti, melompat dan menanduk kencang bola ke arah kiri gol lawan.
Tandukan tersebut gagal diselamatkan oleh penjaga gol Jerman Manuel Neuer.
Sepanyol 1 Jerman 0.
Jelas ketiadaan pemain tengah Thomas Meuller yang digantung satu perlawanan merencatkan permainan dan gerakan pasukan Jerman.
Perlawanan awal pagi tadi hampir keseluruhan dikuasai oleh pasukan Sepanyol dengan gerakan, 'counter attack' dan percubaan yang hampir-hampir menambah gol.
Permainan Jerman pula kebanyakkannya disekat oleh pemain-pemain pertahanan Sepanyol yang diketuai oleh 'kereta kebal' mereka, Gerard Pique dan Puyol sendiri.
Pada separuh masa pertama, permainan lebih banyak dikuasai oleh Sepanyol dengan beberapa kali membuat percubaan merbahaya ke pintu gol Jerman.
Pada waktu itu, mereka menguasai 57 peratus penguasaan bola dengan membuat beberapa gerakan dan hantaran menarik ke arah pintu gol Jerman.
Sekurang-kurangnya empat percubaan merbahaya dilakukan dan nyaris-nyaris Sepanyol membocorkan gawang pada minit ke-13 melalui sepakan sudut.
Sepakan tersebut diambil oleh Xavi yang membuat hantaran pendek kepada Andres Iniesta sebelum beliau menyilangkan bola yang kemudiannya ditanduk oleh Puyol.
Beliau yang berdepan dengan penjaga gol Jerman, berjaya menanduk bola itu tetapi, malangnya ia hanya melewati palang gol.
Kemudian pada minit ke-18, pemain pertahanan Sergio Ramos mendapat umpanan dari tengah, beliau yang berada di kiri pintu gol Jerman, membuat rembatan.
Bagaimanapun, beliau yang berdepan dengan seorang pemain Jerman di dalam kotak penalti, hanya membuat sepakan yang tersasar jauh di kiri gawang.
Selepas itu, pada minit ke-29 tiba giliran Xabi Alonso pula untuk membuat rembatan dari luar kotak penalti, tetapi sepakannya lemah dan tersasar di kiri gol.
Pada minit ke-46 seorang pemain Sepanyol membuat sepakan lemah yang terus ke dakapan penjaga gol Jerman, Manuel Neuer.
Sebelum itu, Jerman juga turut membuat beberapa 'counter attack'. Sekurang-kurangnya dua kali serangan tersebut nyaris menghasilkan gol.
Percubaan pertama daripada Miroslav Klose pada minit ke-22, - beliau yang menggelecek beberapa pemain pertahanan lawan masuk dalam kotak penalti.
Tetapi tanpa bantuan rakan, bola itu terlepas dari kawalannya seterusnya dirampas oleh pertahanan lawan.
Pada minit ke-31, rembatan Piotr Trochowski yang menggantikan tempat Thomas Mueller membuat rembatan dari jarak 30 meter.
Tetapi ditepis keluar oleh penjaga gol Sepanyol, Iker Casillas yang merebahkan badan menolak bola tersebut.
Pada minit ke-45, sebelum separuh masa pertama berakhir, pemain tengah Jerman Mesut Ozil mendapat peluang dengan berdepan satu lawan satu dengan pemain pertahanan Sepanyol dalam kotak panelti.
Bagaimanapun bola tersebut dikawalkan oleh pemain pertahanan tersebut.
Pada separuh masa kedua pula, Sepanyol bermula garang dengan dua rembatan jarak jauh dari pemain Real Madrid Xabi Alonso pada minit ke-48 dan 49.
Kedua-dua percubaan terbabit tersasar di kiri dan kanan gol lawan.
Selepas itu, Sepanyol terus menggasak kubu Jerman dengan beberapa lagi peluang yang diperolehi oleh David Villa, Andres Iniesta dan Sergio Ramos masing-masing pada minit ke- 54, 57, 62 dan 67.
Gerakan menarik hasil gandingan antara Villa- Pedro-Xavi-Iniesta hampir memecah kebuntuan apabila Iniesta hampir menjaringkan gol.
Paling bergaya apabila bola hantaran lintang Iniesta pada minit ke-57, sekadar meniti di hadapan gol Jerman tanpa dicabar oleh mana-mana pemain.
Jerman juga turut mendapat terbaik pada minit ke-68 apabila pemain gantian Toni Kroos membuat sepakan hasil hantaran lintang rakannya.
Namun sepakannya itu ditepis keluar oleh Casillas. Terselamat pintu gol Sepanyol.
Keseluruhan permainan awal pagi ini dikuasai oleh pemain Sepanyol, dan permainan Jerman pula tidak seperti dua perlawanan mereka sebelum ini sewaktu menentang Argentina dan England.
Semua sudut dan segenap posisi dikuasai oleh pemain 'La Roja', dan pemain Jerman seolah-oleh mati akal untuk menjaringkan gol.
Dengan kemenangan ini, membolehkan Sepanyol melebarkan kemenangan mereka dengan Jerman dengan tiga kali kemenangan sejak 1994 berbanding Jerman hanya sekali sahaja.
Ini bererti Jerman masih lagi gagal membalas dendam kekalahan mereka pada Euro 2008 dengan jaringan yang sama.
Bagi Sepanyol, kemenangan ini adalah detik manis dan gembira kerana terus berpeluang membawa pulang Piala Dunia dengan bertemu dengan pasukan Belanda pada 11 Julai ini dalam perlawanan akhir.
Tahniah 'La Roja',
Viva Espana!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment