Thursday, July 22, 2010

Jangan Buat Andaian Pemansuhan UPSR, PMR - Muhyiddin

Jangan Buat Andaian Pemansuhan UPSR, PMR - Muhyiddin

LABUAN: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta orang ramai dan media supaya tidak membuat sebarang andaian berdasarkan pandangan beberapa individu mengenai cadangan memansuhkan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata perbincangan meja bulat mengenai cadangan itu belum selesai dan spekulasi tidak patut dibuat berdasarkan komen pihak tertentu yang terlibat dalam sesi perbincangan pertama Isnin lepas.

"Kita belum lagi selesai meja bulat yang sedang kita lakukan. Saya belum dapat laporan lengkap dan saya akan tunggu selepas selesai meja bulat yang kedua.

"Saya minta media jangan buat andaian, ada orang (keluar) dari meja bulat kata begini, yang lain bila keluar pula kata begitu. Itu tak jadi makna, itu pandangan mereka tapi akhirnya kementerian dan kerajaan akan menimbang apa yang terbaik yang boleh kita laksanakan. Jadi ini harus menunggu sedikit masa," katanya kepada pemberita di sini, Khamis.

Muhyiddin berkata perbincangan meja bulat itu melibatkan pelbagai organisasi seperti kumpulan pendidik, badan politik, badan ekonomi dan badan bukan kerajaan.

"Selepas selesai nanti, laporan akan disampai kepada saya oleh Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (Tan Sri Alimuddin Mohd Dom) dan kita akan meneliti semua pandangan yang ada, apa pro dan kontra.

"Apapun saya tak boleh nak memutuskan (sekarang), kerana bagi saya, penting kita bagi peluang kepada semua pihak yang berminat untuk mengemukakan pandangan mereka," katanya.

Ketika merasmikan seminar antarabangsa penyelidikan pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan 2010 selepas itu, Muhyiddin berkata Malaysia perlu bertindak dengan cepat untuk melaksanakan pembaharuan dalam sistem pendidikan negara jika mahu menjadi sebuah negara maju.

Katanya negara-negara yang sedang bersaing hebat dalam ekonomi global hari ini masing-masing sedang melakukan perubahan yang mendasar dalam sistem pendidikan negara mereka, justeru itu Malaysia tidak boleh ketinggalan dalam perlumbaan ini.

"Majalah Newsweek keluaran terbaru misalnya melaporkan bagaimana para cendekiawan di Amerika Syarikat sedang bergelut dengan masalah kemerosotan daya kreativiti di kalangan rakyatnya, dan masalah ini dikaitkan dengan obsesi sekolah-sekolah di Amerika dalam melaksanakan kurikulum yang seragam.

"China dan Britain telah merombak kurikulum pendidikan negara masing-masing untuk meningkatkan elemen kreativiti dan inovasi dalam proses pembelajaran. Pendek kata, di negara-negara ini, penerapan elemen kreativiti dan inovasi sudah menjadi satu agenda nasional yang dilaksanakan secara bersepadu," katanya.

Muhyiddin berkata falsafah dan kurikulum pendidikan yang baik saja tidak akan membawa apa-apa makna sekiranya ia gagal diterjemahkan secara berkesan dalam bilik darjah.

"Saya percaya pedagogi yang berkualiti dapat dijana melalui kajian-kajian tindakan dan tinjauan yang dijalankan sepanjang masa oleh guru dalam pengurusan kelas, pengajaran dan pembelajaran.

"Melalui kajian tindakan, guru-guru boleh menghasilkan penemuan baru mengenai kaedah pengajaran dan pembelajaran yang berkesan, seterusnya berkongsi penemuan ini dengan rakan-rakan yang lain," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment