60 Pelajar diserang histeria
KUALA KUBU BHARU – Lebih 60 pelajar di sebuah sekolah menengah di sini mengalami histeria dipercayai akibat gangguan misteri.
Pelajar yang mengalami kejadian aneh itu termasuklah seorang pelajar lelaki.
Beberapa pelajar yang ditemui Sinar Harian memberitahu kejadian itu mula berlaku sejak malam Ahad lalu dan gangguan bertambah serius sejak semalam.
Seorang pelajar yang dikenali sebagai Nida, 17, berkata, ketika kejadian malam semalam, pelajar di asrama perempuan dikejutkan dengan jeritan kuat seorang pelajar di sebuah bilik.
“Terdengar sahaja jeritan itu, semua pelajar tertumpu di bilik berkenaan. Sementara warden mengarahkan seorang rakan kami melaungkan azan bertujuan menghalau syaitan, tetapi, pelajar itu tidak menyedari dia terlupa menyebut syahadah.
“Setelah ditegur, dia terus berpaling memandang kami dan tidak lama itu dia menuju ke arah belakang lalu menangis,” katanya yang mendakwa rakannya itu turut mengalami gangguan berkenaan.
Nida berkata, keadaan berlarutan hingga ke subuh menyebabkan kebanyakan pelajar asrama mengantuk dan lemah ketika hadir ke sekolah.
Menurutnya, pada hari Isnin keadaan dilihat agak tenang tetapi mangsa pertama rasukan makhluk itu masih belum pulih.
“Dia kembali histeria menjelang Asar hingga Maghrib dan hanya dapat ditenangkan seketika. Tetapi, rasukan kembali dan menjangkiti beberapa pelajar lain.
“Keadaan berlarutan hingga ke hari Rabu sehingga memaksa pelajar asrama perempuan dikuarantin,” katanya.
No comments:
Post a Comment